KEBIMBANGAN ibu bapa terhadap tumbesaran anak-anak sering mendorong mereka untuk mencari jalan pintas melalui pelbagai jenis suplemen dan 'penggalak tumbesaran' yang membanjiri pasaran.
Daripada multivitamin, serbuk nutrien, tonik herba, hinggalah kepada formula khas, produk-produk itu sering diambil berdasarkan saranan tidak rasmi atau janji-janji iklan yang menarik.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik, Dr. Jeanne Wong Sze Lyn, keinginan untuk memberikan kelebihan terbaik kepada anak adalah wajar.
BACA LAGI: Jangan cepat menghukum jika remaja menjauhkan diri, empati kunci baiki hubungan anak dan ibu bapa
Namun, beliau memberi amaran bahawa lambakan suplemen itu memerlukan penilaian yang bijak, memandangkan tidak semua dipasarkan benar-benar perlu, malah ada yang berpotensi memudaratkan.
Dr. Jeanne Wong menekankan bahawa tumbesaran yang optimum bergantung kepada enam tunjang utama saling berkait iaitu nutrisi seimbang, tidur berkualiti, aktiviti fizikal, tahap kesihatan umum baik, keseimbangan hormon dan faktor genetik.
"Ini adalah ‘penggalak tumbesaran’ yang sebenar. Tiada suplemen tunggal mampu menggantikan asas-asas ini atau menolak potensi tumbesaran semula jadi seorang kanak-kanak melangkaui batas genetiknya," jelas beliau.
Beliau menambah, makanan semula jadi dan diet yang seimbang kekal sebagai sumber terbaik untuk membekalkan makronutrien (protein, karbohidrat, lemak sihat) dan mikronutrien (vitamin dan mineral) yang diperlukan untuk membina tulang dan tisu.
Bagi kebanyakan kanak-kanak yang sihat, diet seimbang sudah mencukupi.
Bila suplemen jadi keperluan?
Walaupun suplemen rutin tidak disarankan untuk semua, Dr. Jeanne Wong menyatakan terdapat keadaan tertentu yang mana suplemen memainkan peranan kritikal terutamanya apabila kekurangan nutrien telah disahkan oleh doktor atau kanak-kanak berisiko tinggi mengalaminya.
Antara kekurangan nutrien yang sering dikesan dalam kalangan kanak-kanak termasuk:
1. Kekurangan Vitamin D: Lazim berlaku walaupun di negara bercahaya matahari kerana kebanyakan kanak-kanak kurang terdedah kepada cahaya matahari, terutama bagi bayi yang disusukan secara eksklusif dan mereka yang berkulit gelap. Vitamin D penting untuk penyerapan kalsium bagi menguatkan tulang.
2. Kekurangan zat besi: Biasa dilihat pada bayi dan kanak-kanak kerana peningkatan keperluan zat besi semasa tumbesaran, serta pada remaja perempuan dengan masalah haid yang banyak.
3. Kekurangan kalsium: Sering berlaku pada kanak-kanak yang mengelak produk tenusu akibat alahan, intoleransi, atau pilihan diet.
4. Kekurangan vitamin B12: Terutama dalam kalangan pengamal diet vegetarian atau vegan yang ketat, kerana B12 kebanyakannya ditemui dalam makanan berasaskan haiwan.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik, alahan makanan yang teruk atau mengalami isu pemilihan makanan yang terhad suplemen adalah penting untuk membetulkan kekurangan dan mengoptimumkan kesihatan mereka.

Bagi kebanyakan kanak-kanak yang sihat, diet seimbang sudah mencukupi. — Gambar hiasan/AI
Dr. Jeanne Wong menegaskan bahawa ujian darah merupakan kaedah yang paling sahih untuk memeriksa tahap nutrien.
Beliau memberi amaran agar ibu bapa mengelak daripada menggunakan kaedah alternatif seperti analisis rambut yang sering dipromosikan, kerana ia tidak disahkan secara perubatan dan boleh memberikan hasil yang mengelirukan atau tidak konsisten.
Selain itu, jika kekurangan dikesan, doktor mungkin menetapkan dos rawatan yang lebih tinggi untuk jangka masa pendek bagi memulihkan simpanan nutrien.
Kesimpulannya, sokongan terbaik untuk tumbesaran anak adalah melalui amalan harian yang mudah seperti diet yang seimbang, tidur yang mencukupi dan aktiviti fizikal yang aktif. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
