Mengikis stigma lapuk, status janda juga insan biasa - Datuk Mastura


  • Cinta
  • Selasa, 16 Dis 2025

Datuk Mastura Yazid menyeru agar masyarakat mengikis stigma terhadap janda dan menghormati hak mereka untuk hidup bermaruah tanpa perlu sentiasa menjelaskan diri. — Gambar hiasan/AI

DALAM lingkaran kehidupan terdapat satu fasa yang sering tidak diundang namun harus dilalui dengan tabah.

Fasa itu apabila status seorang wanita bertukar menjadi janda kerana ia bukan sekadar pertukaran status di kad pengenalan, tetapi merupakan perubahan signifikan dalam cara hidup.

Malah lebih berat ialah pandangan masyarakat dan persepsi wanita itu terhadap dirinya sendiri.

BACA LAGI: Isteri curiga suami kerap main pickleball alasan nak jumpa wanita cantik, siap teliti dulu foto, senarai nama peserta

BACA LAGI: 'Alhamdulillah', TMJ titip syukur, Che Puan Mahkota Khaleeda hamil anak ke-5

Seorang ahli politik berpengalaman, Datuk Mastura Yazid, turut melalui fasa itu dengan berkongsi pandangan mendalam mengenai isu tersebut.

Apabila seorang wanita bergelar janda, tiba-tiba namanya sering disertai bisik-bisik dan tafsiran masyarakat.

Seolah-olah kehidupan peribadinya kini perlu sentiasa dijelaskan kepada khalayak.

"Tiba-tiba namanya disertai bisik-bisik. Senyumannya ditafsir. Diamnya dipersoal. Seolah-olah hidupnya kini perlu sentiasa dijelaskan kepada orang lain," ujar Datuk Mastura Yazid dalam perkongsiannya.

Hakikatnya, seorang janda adalah manusia biasa yang pernah mencintai, berharap dan melalui kehilangan atau perpisahan yang tidak dapat dielakkan.

Kehilangan itu meninggalkan ruang kosong yang mendalam yang tidak boleh diisi dengan segera dan tidak boleh difahami sepenuhnya oleh sesiapa yang belum melaluinya.

Walaupun ada hari-hari wanita itu kelihatan amat kuat menguruskan anak, bekerja dan membuat keputusan penting seorang diri.

Namun wujud juga hari-hari yang dilanda perasaan letih, rindu dan keinginan untuk bersandar.

"Itu bukan kelemahan. Itu fitrah manusia yang sedang belajar berdiri semula selepas jatuh," tegas beliau.

Aspek yang sering menyakitkan bukanlah status janda itu sendiri, tetapi cara masyarakat menerimanya.

"Yang sering menyakitkan bukan status itu sendiri, tetapi cara masyarakat menerimanya," kata Mastura.

Islam, agama yang menjunjung tinggi martabat wanita tidak pernah menghukum seorang wanita kerana status jandanya.

Sebaliknya, agama memberi ruang untuk memilih, ruang untuk sembuh dan membina hidup baharu dengan cara paling jujur kepada diri sendiri.

"Janda bukan simbol kegagalan. Kadang-kadang, ia adalah simbol keberanian untuk terus bertahan," tambah beliau.

Nilai seorang wanita tidak berkurang kerana kehilangan pasangan.

Malah, ramai wanita berstatus janda menjadi lebih matang, lebih jelas tentang batas-batas kehidupan, dan lebih tahu apa yang mereka mahu.

Dalam masyarakat moden, semakin ramai janda yang berdikari, berpendidikan tinggi dan memainkan peranan aktif serta berpengaruh dalam masyarakat.

"Kehadiran mereka mencabar gambaran lama bahawa janda adalah simbol kekurangan. Sebenarnya, janda berada di persimpangan antara adat lama dan realiti baharu," jelasnya.

Dari sudut psikologi, ramai janda melalui proses emosi yang berlapis-lapis, termasuk duka, kehilangan identiti lama, rasa bersalah, marah, sunyi dan akhirnya penerimaan.

Bagi janda yang mempunyai anak, tekanannya berganda, kerana perlu menjadi ibu dan bapa serentak sambil menanggung pandangan orang dan beban ekonomi.

Namun, di sebalik semua itu, ramai yang membina ketahanan emosi yang luar biasa menjadi lebih matang, sedar akan nilai diri dan lebih tenang dalam menentukan hala tuju hidup.

"Janda tidak perlu diselamatkan, dinilai atau diperbetulkan. Cukuplah dihormati sebagai manusia yang sedang meneruskan hidup dengan luka yang pernah ada dan harapan yang masih wujud," pesan beliau.

Status itu bukan penamat. Bagi sesetengah wanita, ia adalah permulaan untuk "hidup" semula, dengan matlamat dan kekuatan yang lebih jitu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram