Isteri curiga suami kerap main pickleball alasan nak jumpa wanita cantik, siap teliti dulu foto, senarai nama peserta


  • Cinta
  • Isnin, 15 Dis 2025

Seorang isteri meluahkan rasa curiga apabila aktiviti 'pickleball' suaminya hanya alasan untuk bertemu dengan wanita cantik. — Gambar hiasan/AI

SEORANG isteri mencetuskan perbincangan hangat dalam media sosial selepas meluahkan pergolakan rumah tangganya.

Beliau mendakwa aktiviti suaminya bermain pickleball bukan sekadar alasan untuk bersenam, tetapi ingin bertemu 'wanita cantik'.

Kisah luahan isteri tersebut dikongsi menerusi laman Facebook XUAN, yang mana beliau menyatakan rasa terabai dari segi emosi, curiga dan semakin terperangkap di rumah.

BACA LAGI: Harapkan jodoh lelaki Mesir, wanita dinasihati lupakan hasrat sebelum sengsara di kemudian hari

BACA LAGI: Seni adegan intim dalam K-drama: Metafora sebagai ruang tontonan 'selamat'

Ini berlaku sementara suaminya berkeras mengatakan hanya keluar bersenam dan bersosial.

Menurut isteri tersebut, suaminya sering bergerak ke lokasi berbeza untuk bermain pickleball.

Beliau mendakwa suaminya juga akan menyemak senarai kehadiran dan meneliti gambar peserta sebelum membuat keputusan ke mana hendak pergi.

Tindakan-tindakan itu menyukarkan beliau untuk tidak mempersoalkan niat sebenar suaminya.

"Dia kata orang lelaki tidak mahu bercakap dengannya, jadi dia perlu mencari wanita. Mereka mestilah wanita yang cantik," tulisnya.

Wanita itu turut berkongsi, apabila beliau menemani suaminya ke salah satu sesi pickleball, pasangannya tidak bermain atau bergaul langsung sebaliknya hanya duduk diam.

Wanita itu turut menceritakan bagaimana suaminya sering mengkritik penampilan dan berat badannya, tetapi berkelakuan sangat berbeza apabila berada di luar sendirian.

Beliau berkata, suaminya mendakwa tidak boleh makan banyak kerana masalah penghadaman, namun tiada masalah menjamah hidangan besar di luar.

Bagaimanapun, paling melukakan hati apabila suami memberi 'amaran' supaya tidak menyentuhnya konon bimbang terangsang dek perlu bekerja pada keesokan hari.

Wanita itu mendakwa suaminya akan menyemak senarai kehadiran dan meneliti gambar peserta sebelum membuat keputusan ke mana hendak pergi. — Gambar hiasan/AI

Sebagai penjaga sepenuh masa, isteri itu berkongsi bahawa beliau menghabiskan hari-hari di rumah menjaga anak mereka dengan sedikit kebebasan peribadi atau kehidupan sosial.

Walaupun suaminya memberitahu beliau juga boleh keluar, wanita itu sering membatalkan niat kerana tiada orang lain untuk menjaga anak mereka.

Beliau menambah, keletihan emosinya mula menjejaskan anak mereka yang akan menangis pada waktu malam selepas berasakan ketegangan di rumah.

Kini, selepas keletihan secara emosi, isteri itu berkata, beliau tidak mampu mengubah seseorang yang tidak mahu berubah.

Beliau mengakhiri luahannya dengan mempersoalkan sama ada kebebasan yang dituntut oleh suami benar-benar berkisar tentang bersenam atau sebaliknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram