SEORANG kanak-kanak dari Sepanyol, Santiago Daniel, mencuri tumpuan dunia selepas tabiatnya yang suka menconteng dinding rumah membawa kepada penemuan bakat luar biasa.
Segalanya bermula di rumah apabila Santiago dikatakan kerap menconteng hampir keseluruhan dinding kediaman sehingga memaksa ibu bapanya berulang kali cat semula.
Pun begitu, ibunya, Adianee tidak pernah memarahi apatah lagi melarang anaknya meneruskan hobi lukisan tersebut.
BACA LAGI: 'Belajar memulih dan menghargai', Syamimiaa cat semula koridor PPR didiami lebih 23 tahun
BACA LAGI: 'Bukan orang senang', pelajar terharu ibu hadiahkan telefon pintar walau bukan jenama mahal
Bahkan, beliau mengambil pendekatan menyokong minat tersebut dengan menyediakan peralatan lukisan lengkap agar Santiago dapat menyalurkan kreativiti ke arah lebih positif.
Tindakan itu membuahkan hasil apabila pada usia enam tahun Santiago, berjaya menganjurkan pameran lukisan pertama bertajuk Mundo de Colores (Dunia Warna).
Pameran tersebut menampilkan karya-karya ceria penuh warna yang menggambarkan imaginasi luas dan ketelitian luar biasa walaupun usianya masih muda.
Menurut Adianee, sokongan itu bermula sejak anaknya masih di peringkat bayi dengan menyediakan segala alat yang diperlukan untuk mengembangkan kemahirannya.
"Santi melukis tanpa henti sejak kecil, ketika dia berusia empat tahun, kami terpaksa mengecat semula seluruh rumah sebelum berpindah kerana dinding penuh dengan lukisan," katanya.
Namun, melihatkan wajah ceria Santiago setiap kali menghasilkan lukisan baharu, Adianee akhirnya mula memahami minat anaknya terhadap seni lukisan.
Video memaparkan hasil karya Santiago kini meraih lebih 16 juta tontonan di TikTok sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi positif serta rasa kagum terhadap kebolehan kanak-kanak tersebut.
Kini, Santiago meluangkan sekurang-kurangnya 40 minit setiap hari untuk melukis dan mampu menghasilkan karya baharu hampir setiap hari.
Walaupun kadangkala hilang fokus seperti kanak-kanak sebayanya, Santiago tetap kembali kepada seni lukisan yang membuktikan minat mendalam serta disiplin luar biasa dimiliki pada usia semuda itu.
Adianee percaya kebebasan adalah kunci perkembangan kreativiti dan kebolehan kanak-kanak.
"Dinding boleh dicat semula, tetapi kreativiti anak tidak patut disekat," katanya sambil menggalakkan ibu bapa lain memberi ruang kepada anak-anak untuk meneroka kebolehan mereka.
Ia secara tidak langsung membuktikan bahawa tabiat kecil yang dianggap satu kesalahan, kadangkala adalah permulaan kepada bakat besar jika diberi peluang dan sokongan yang betul. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
