Bagi nama terlalu panjang jejas kesihatan mental anak? Berikut penjelasan pakar, jangan ambil ringan


  • Bonda
  • Ahad, 21 Dis 2025

Kanak-kanak generasi kini sering diberi nama yang panjangyang akhirnya mengundang kesukaran bila meningkat dewasa kelak. — Gambar hiasan/Janaan AI

SETIAP ibu bapa lazimnya ingin memberikan nama yang baik, indah maknanya dan membawa doa kepada anak yang baru lahir. 

Namun, kebelakangan ini muncul pula trend baharu dalam kalangan ibu bapa generasi muda yang dilihat lebih gemar memilih nama yang panjang, unik namun kadangkala sukar disebut. 

Fenomena itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat antara keinginan mengekspresikan identiti moden atau risiko salah sebutan yang berulang dalam urusan rasmi.

BACA LAGI: Kongsi foto momen 'sweet' bersama, Bella Astillah ciap ucapan istimewa sempena hari lahir Syed Saddiq

BACA LAGI: Akrab berdua sejak kecil, kakak reda pemergian adik lepas bertarung nyawa hidap tumor otak

Daripada kesukaran menulis di borang peperiksaan, hingga stres mengisi dokumen rasmi atau tempahan penerbangan, ia sedikit sebanyak mencetuskan persoalan tentang isu berbangkit. 

Dianggap remeh oleh segelintir pihak, ada individu melaporkan berdepan tekanan mental akibat nama yang terlalu panjang.

Seorang doktor perubatan, Dr. Aman Rizal menerusi perkongsiannya di Facebook merungkai isu di sebalik masalah tersebut. 

Jelasnya, antara aduan biasa diterima adalah kesukaran menulis nama ketika peperiksaan sekolah kerana memerlukan lebih masa ketika mengisi borang, ejaan nama sering silap serta masalah apabila mengurus dokumen rasmi. 

Malah menurutnya, ada juga individu dipanggil dengan nama pendek atau singkatan yang akhirnya menyinggung perasaan yang boleh mempengaruhi keyakinan diri serta sosial mereka.

"Dalam diam, ramai mula salahkan ibu bapa yang memberikan nama tersebut, saya ada seorang pesakit yang sedang proses tukar nama di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tetapi mendapat tentangan daripada ibu bapa sendiri sampai menjejaskan kesihatan mentalnya.

"Nasihat saya kepada bakal ibu bapa, berilah nama yang baik dan ringkas, benda ini nampak kecil tapi kalau tersilap langkah ia boleh memberi kesan besar kepada emosi dan kehidupan anak anda," ujarnya.

Prosedur pertukaran nama JPN

Di bawah undang-undang Malaysia, JPN membenarkan permohonan pembetulan atau penukaran nama tertakluk kepada syarat dan prosedur tertentu. 

Sebagai contoh, jika anak berumur kurang daripada satu tahun, nama dalam sijil kelahiran boleh diubah di bawah peruntukan pembetulan nama.

Ibu bapa yang mahu menukar nama anak perlu hadir ke mana-mana cawangan JPN dengan dokumen asal dan salinan sijil kelahiran asal, MyKad ibu dan bapa, kad kelahiran anak dan dokumen sokongan seperti sijil perkahwinan pasangan. 

Borang rasmi seperti JPN.LM21 dan jika perlu JPN.LM07 atau JPN.LM22 hendaklah diisi dan disahkan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah sebelum dihantar ke JPN. 

Setelah lulus, sijil kelahiran baharu akan dikeluarkan dan kos bagi penukaran nama untuk bayi di bawah umur setahun hanya sekitar RM5 untuk sijil baharu dan RM5 sebagai cas pemprosesan. 

Tetapi jika anak atau individu sudah berusia lebih dari satu tahun atau perubahan melibatkan MyKad, proses menjadi lebih kompleks kadangkala memerlukan akuan berkanun atau perintah mahkamah terlebih dahulu. 

Justeru, ibu bapa digesa mempertimbangkan aspek praktikal dan kehidupan harian anak sebelum memilih nama. 

Bagi ibu bapa yang kini merasakan nama anak terlalu panjang atau menyukarkan, ia masih boleh ditukar selagi syarat dan prosedur JPN dipatuhi dengan betul. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram