SETIAP kediaman mahupun bersaiz kecil, lusuh atau uzur, tetap menyimpan seribu satu memori yang tidak mampu dipadam masa.
Ada rumah yang retaknya mengingatkan kita pada zaman kanak-kanak manakala ruang koridor pula menjadi saksi tawa dan air mata yang dahulunya tercipta di zaman kanak-kanak.
Namun, semuanya perlu dihargai kerana di situlah terbina perjalanan hidup dan pembentukan keluarga yang kini tinggal kenangan.
BACA LAGI: 'Bukan orang senang', pelajar terharu ibu hadiahkan telefon pintar walau bukan jenama mahal
BACA LAGI: 'Arif sampai sorok laptop', Mila Jirin belajar bahagi masa kerjaya, elak anak rasa tersisih
Bahkan, bagi individu yang membesar di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR), ruang sederhana itu bukan sekadar tempat berteduh, tetapi sebahagian daripada identiti yang membentuk siapa mereka hari ini.
Itulah yang digambarkan pempengaruh laman sosial, Syamimiaa menerusi perkongsiannya di laman Threads baru-baru ini apabila beliau mengajak suami dan anak kecilnya membersihkan ruang koridor flat yang telah didiami lebih 23 tahun itu.
Baginya, usaha kecil itu bukan sekadar membaik pulih ruang, tetapi memulihkan kenangan yang telah lama tercipta di situ.
"Alam dewasa itu berat sekali tapi entah bagaimana, hidup perlahan menjadikannya lebih ringan, saya membesar di flat ini sejak usia 7 tahun lagi.
"Ia koridor yang sama, dinding yang sama dan di satu sudut sunyi yang menyaksikan saya membesar," ujarnya.
Dengan cat yang semakin luntur, tiang yang dimakan masa dan dinding kusam yang memerangkap habuk bertahun-tahun, koridor itu menurutnya sudah terlalu lama tidak 'disentuh'.
Namun, bagi Syamimiaa, situasi itu memberinya makna lebih meluas kerana binaan konkrit tersebut telah setia 'bertahan' bersama keluarganya.
"Tanpa membuang lebih banyak masa, kami perbaiki mana yang ada, hanya saya dan suami, dua berus, satu tong cat dan si kecil yang memerhati.
"Belajar meneliti apa maknanya menjaga, luka ini masih ada, ya? Perlu dirawat bukan untuk menutup malu, tetapi cukup sekadar bertahan sebelum dimamah waktu," kongsinya.
Sejak pukul 4 petang hingga matahari terbit, pasangan itu terus bekerja tanpa tidur, bertemankan angin malam dan bunyi sunyi bangunan lama tersebut.
Usai selesai, koridor yang dulunya suram kini tampil lebih cerah, bersih dan segar.
Meskipun tidak berwajah baharu sepenuhnya, tetapi ia cukup untuk memberi nafas dan harapan kepada penghuni yang lalu di kawasan itu.
"Sekarang, ruang ini menjadi lebih ringan, lebih lembut dan bersih.
"Tiada lagi yang terluka kerana kasih, dinding lama seperti ini juga mampu bernyawa," katanya mengakhiri perkongsian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
