PERANCANGAN majlis perkahwinan selebriti dan primadona filem Melayu, Erra Fazira pada Jumaat lalu ternyata memberi inspirasi kepada pasangan raja sehari lain.
Majlis Ijab dan Qabul Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain turut dipuji apabila ia berlangsung dengan tenang dan terkawal sehingga selesai.
Justeru, pihak Empire Coordinator tampil menzahirkan penghargaannya ke atas kepercayaan yang diberikan sebagai perancang majlis perkahwinan pasangan merpati sejoli tersebut.
BACA LAGI: Erra Fazira sah milik Mr. E, anggun berbusana biru lembut rekaan Rizman Ruzaini
BACA LAGI: Anggap Sarawak rumah, Tunku Azizah imbau momen terima keringkam sebagai hantaran kahwin pada 1986
"Terima kasih atas setiap pujian terhadap aliran majlis yang kemas, tenang dan terkawal.
"Mandat yang diberikan kepada pasukan Empire Coordinator untuk memperincikan dan mengetuai perjalanan majlis ijab qabul Erra dan Ezwan kami dukung dengan penuh penghargaan, ketilitian dan tanggungjawab.
"Kami kongsikan sedikit cerita dibelakang tabir majlis kesayangan ramai ini," katanya.
Menerusi video dimuat naik di akaun Threads Empire Coordinator, jelas dilihat gaya aturan majlis yang lancar dan profesional.
Pihak pengurusannya juga kelihatan tenang dan jelas ketika memberi setiap arahan kepada pengantin termasuk pekerja yang terlibat.
Situasi itu sekali gus mencuri perhatian warga maya yang rata-ratanya memuji cara pasukan perancang majlis terbabit.
Ada juga menyifatkan pengendalian majlis itu sangat lancar dan tersusun serta tidak mewujudkan suasana tertekan.
Ia secara tidak langsung membuktikan kepentingan komunikasi jelas dan pengurusan yang cekap dalam melaksanakan sesebuah acara besar.
"Perfect dan profesional, seronok bila kerja dengan orang yang bercakap dengan jelas begini daripada menjerit," komen @nursakinahz_.
"Suka perancang perkahwinan seperti ini. Semuanya dirancang dengan baik, teratur dan dilaksanakan dengan baik.
"Saya dapat melihat seluruh pasukan sangat prihatin dan profesional," puji @aimewon.
Erra Fazira selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Ezwan pada pukul 9.20 pagi Jumaat dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Selangor.
Majlis yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat itu berlangsung dalam suasana sederhana namun sarat dengan nilai penuh makna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
