SIAPA kata kejayaan dalam dunia perniagaan sentiasa dicapai dengan idea-idea kompleks.
Lihat sahaja kisah pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Scrub Daddy, Aaron Krause yang bermula daripada satu inovasi kecil.
Idea ringkasnya mencipta span mencuci dengan rekaan wajah tersenyum sekali gus mencetuskan fenomena global.
BACA LAGI: Satu rumah jadi bilik 'meeting', anak pengasas Dr Cardin dedah realiti urus bisnes famili
BACA LAGI: Dulu beratur demi bantuan makanan, ramai tak tahu kisah pengasas WhatsApp

Produk Aaron Krause yang berhasil memberi kejayaan dalam perniagaannya. — Agensi
Menceritakan semula langkah awalnya, Aaron mengakui bahawa sentiasa mempunyai minat untuk mencipta sesuatu sejak kecil.
"Saya selalu tertarik untuk melihat masalah pada sesuatu produk.
"Tetapi, jika anda memberitahu saya 25 tahun lalu bahawa ciptaan terbesar saya akan menjadi span dapur, saya pasti tidak percaya," katanya.
Kini, dengan status antara syarikat berjaya dalam siri program realiti televisyen perniagaan Amerika Syarikat (AS), Shark Tank, Aaron direkodkan menjual lebih 25 juta unit span pembersih inovatifnya.
Ia secara tidak langsung menjadikan nilai syarikat tersebut sebanyak lebih AS$170 juta (RM700 juta).
Aaron berkata, kejayaan itu bagaimanapun bukanlah datang sekelip mata bagai durian runtuh.
Ia bermula 25 hingga 30 tahun lalu selepas Aaron tamat pengajian di kolej.
"Ibu bapa saya kedua-duanya bekerja sebagai doktor dan mereka duduk berbincang tentang masa depan saya.
"Untuk mengejutkan mereka, saya mengumumkan bahawa saya akan memulakan perniagaan cuci kereta sendiri.
"Bagi saya, ia bukan sekadar mencuci kereta tetapi, saya adalah presiden dan CEO syarikat saya sendiri," jelasnya.

Fungsi pertama span Scrub Daddy adalah untuk mencuci kenderaan dan kotoran minyak. — Agensi
Tidak berpuas hati dengan span penggilap sedia ada di pasaran, beliau mula menghasilkan rekaan pertamanya.
Dengan kreativitinya, beliau menggunakan bahan seperti polyurethane foam atau busa poliuretan untuk menggilap kereta.
Busa poliuretan merupakan bahan polimer yang terbentuk dari reaksi kimia antara dua bahan utama iaitu isosianat dan poliol.
Reaksi itu menghasilkan struktur berbentuk padat tergantung pada formulasi dan kondisi reaksi yang diterapkan.
"Saya juga mencipta mesin untuk menghasilkan span ini.
"Jadi, tangan saya sentiasa dipenuhi minyak gris yang sukar hilang walaupu dicuci dengan pelbagai sabun.
"Susulan itu, munculnya idea saya mencipta produk untuk membersihkannya.
"Saya minta sampel dari setiap pembekal dan temui syarikat sesuai dari Jerman," katanya.
Menurutnya, bagi mendapatkan tekstur dan penyerapan lebih baik, beliau memotong span tersebut menjadi bentuk bulat dengan dua lubang di tengah untuk membersihkan celahan jari.
Tanpa disedarinya, span tersebut dilihat seperti wajah yang sedang tersenyum.
"Itulah permulaan sebenar Scrub Daddy. Pada 2008, saya menjual perniagaan ini kepada syarikat pengeluar terbesar dunia.
"Tetapi, mereka tidak berminat dengan produk asal saya, jadi mereka mengecualikan Scrub Daddy dari perjanjian dan membeli yang lain.
"Saya gagal menjual span ini dan membuangnya ke dalam tong sampah di belakang kilang," luahnya.

Reka bentuk span direka sesuai untuk kegunaan harian. — Agensi
Tiga tahun kemudian, Aaron secara tidak sengaja memulakan semula perniagaan yang sudah lama 'dibuang'.
Di kala sedang membersihkan perabot di luar rumahnya, beliau dengan spontan mengeluarkan semula produk spannya yang tersimpan lama di dalam tong sampah tersebut.
"Saya mencelup span dalam air panas dan tiba-tiba ia menjadi lembut sepenuhnya.
"Tanpa sedar, saya sebenarnya sudah mencipta span dual-texture, tidak menggores, lembut di dalam air panas dan mengeras dalam air sejuk.
"Ia berkesan apabila digunakan pada perabot rumah, jadi saya mencubanya pada pinggan pula," ujarnya.
Berbekalkan semangat baharu, Aaron membuat keputusan untuk menaik taraf pembungkusan produknya dengan wang pelaburan sebanyak AS$75,000 (RM308,925).
Langkahnya sekali gus mendapat liputan media dan produk Scrub Daddy laris dijual dalam masa lapan minit pada April 2012.
"Ada satu malam, saya dan isteri menonton rancangan televisyen Shark Tank dan sedar alangkah ruginya jika tidak menyertainya.
"Disebabkan itu, saya terus isi borang permohonan dan selepas dua bulan persiapan, saya berada di set untuk rakaman musim keempat," katanya.

Span Scrub Daddy juga boleh digunakan untuk mencuci barangan dapur. — Agensi
Kata Aaron, episod beliau ditawarkan wang pelaburan daripada jutawan terkenal, Lori Greiner sebanyak AS$200,000 (RM823,800) tidak disangka melonjakkan perkembangan perniagaannya.
Kini, Scrub Daddy menjadi syarikat span ketiga terbesar di AS serta produknya boleh didapati di lebih 60 peruncit atas talian termasuk kedai fizikal di seluruh negara itu.
"Ia idea kecil, tetapi boleh berkembang, mempunyai tarikan pasaran tempatan dan dengan harganya AS$4 (RM16), ia sangat mampu milik," ungkapnya.
Selain span penggilap, Scrub Daddy turut meluaskan rangkaian produknya seperti mop, pemadam, berus cuci pinggan, tuala mikrofiber dan bekas sabun.
Beliau justeru menasihatkan kepada para usahawan lain agar tidak memandang remeh terhadap idea kecil.
"Tidak kira besar atau kecil, satu-satunya cara ia berjaya adalah jika anda berani ambil peluang dan bertindak," pesannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
