SEORANG wanita di California, Amerika Syarikat (AS) dihadapkan ke mahkamah terhadap pertuduhan membunuh selepas didakwa meninggalkan anak lelakinya di dalam kereta ketika menjalani prosedur rawatan kecantikan bibir di sebuah spa.
Tertuduh, Maya Hernandez, 20, didakwa meninggalkan dua anaknya, Amillio Gutierrez, 1 tahun, dan abangnya, Mateo berusia 2 tahun.
Kedua-dua mangsa dibiarkan duduk di kerusi khas kanak-kanak (baby seat) di tempat duduk belakang kenderaannya pada 29 Jun lalu.
BACA LAGI: 'Jangan sekadar tengok harga', 19 perkara perlu ada dalam 'checklist' sebelum beli rumah lama

Amilio dilaporkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital. — Agensi
Menurut pihak pendakwaan, Hernandez meninggalkan kedua-dua kanak-kanak itu selama lebih dua jam sebelum kembali semula ke keretanya.
Tertuduh bagaimanapun mendapati Amillio berada dalam keadaan mulutnya berbuih, mengalami sawan dan kemudiannya tidak sedarkan diri.
Suhu badan mangsa didapati mencecah 41.6 darjah celsius sebelum dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia.
Mateo pula ditemui selamat meskipun suhu badannya meningkat kepada 37.2 darjah celsius dan kini masih mendapatkan rawatan pusat perlindungan.
Pendakwa Raya, Stephanie Taconi berhujah bahawa tertuduh memilih kepentingan diri sendiri berbanding keselamatan anak-anaknya.
"Dia memilih untuk meninggalkan mereka di dalam kereta. Dia memilih masa untuk diri sendiri, bersosial dengan orang dewasa lain.
"Pilihan itu kemudiannya meragut nyawa Amillio," katanya.
Saksi mendakwa, Hernandez berlari masuk ke pusat kecantikan sambil mendukung anak bongsunya yang dalam keadaan lemah dan wajahnya bertukar biru.
Seorang lagi saksi pula mendedahkan dirinya bertindak mengeluarkan Mateo dari kereta yang terlalu panas.

Kedua-dua mangsa ditinggalkan di tempat duduk belakang kereta. — Agensi
Pekerja spa berkenaan turut dikatakan menawarkan supaya kedua-dua mangsa dibawa masuk ke dalam premisnya, tetapi ditolak tertuduh.
"Ini bukan kemalangan. Ini bukan kes ibu yang terlupa kerana tergesa-gesa.
"Tindakan ini dilakukan secara sengaja," kata pihak pendakwa.
Peguam bela, Teryl Wakeman bagaimanapun menafikan ia kes pembunuhan, malah kesilapan besar seorang ibu berusia 20 tahun.
Beliau mendakwa, Hernandez sudah meninggalkan anak-anaknya dengan beberapa bekalan makanan seperti biskut dan susu termasuk sebuah telefon pintar untuk ditonton.
Tertuduh juga dikatakan pada awalnya menghidupkan kereta dengan penghawa dingin yang dibiarkan terpasang.
"Dia menyangka enjin dan penghawa dingin akan terus hidup ketika itu," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
