TENGKU Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan kunjungan ke Sarawak pada Isnin lalu bukanlah sekadar lawatan biasa.
Bahkan ia dianggap sebagai satu kepulangan dinanti-nantikan susulan hubungan budaya dan sejarahnya yang sudah lama terjalin antara dua negeri tersebut.
Perasaan itu turut dizahirkan baginda ketika bertitah pada pembukaan Seminar Festival Tekstil Antarabangsa Borneo, Sarawak.
BACA LAGI: Ibu asyik nikmati bakso, anak 4 tahun ditinggal main sendirian maut terperangkap dalam istana belon

Tunku Azizah (tengah) ketika sesi lawatan ke Seminar Festival Tekstil Antarabangsa Borneo, Sarawak. — Facebook/Kesultanan Pahang
"Pahang dan Sarawak adalah anak dari landskap yang sama, sungai, hutan serta memori nenek moyang.
"Bahkan, seorang Sultan Pahang pernah mengahwini Puteri Brunei. Manik di Jerantut, Pahang mirip manik Sarawak. Terlalu banyak persamaan untuk dianggap kebetulan.
"Setiap kali saya datang ke Sarawak, saya tidak rasa seperti melancong. Saya rasa seperti pulang ke rumah," titahnya dalam satu kenyataan menerusi Facebook Kesultanan Pahang baru-baru ini.
Mengimbau kembali pertalian sejarah merentasi generasi, baginda bertitah, hubungan dua negeri itu ternyata berakar sejak sebelum pembentukan kerajaan moden.
Baginda pada masa sama berkongsi pengalamannya ketika menerima selendang keringkam dari Pahang sebagai hantaran perkahwinannnya.

Tunku Azizah berbual dengan salah seorang artisan sewaktu acara festival berlangsung. — Facebook/Kesultanan Pahang
Menurutnya, keringkam tersebut digayakan sebagai tudung dan dipakai ketika majlis khatam al-Quran sempena majlis pernikahannya.
"Ia begitu berharga sehingga saya hadiahkan kepada Muzium Sarawak agar menjadi milik masyarakat yang saya anggap sebagai keluarga," tambahnya.
Tunku Azizah selamat diijabkabulkan dengan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Mac 1986.

Majlis perkahwinan Tunku Azizah dan Sultan Pahang pada 1986.
Majlis pernikahan itu juga berlangsung di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru, Johor.
Pasangan diraja tersebut dinikahkan pukul 8.45 malam dengan mas kahwin berupa senaskhah al-Quran oleh jurunikah ketika itu, Datuk Ahmad Awang yang juga Mufti Johor.
Majlis turut disaksikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim selaku saksi bagi pihak pengantin perempuan.
Manakala, pihak pengantin lelaki pula disaksikan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan empat putera dan lima puteri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
