Seri Negara diberi nafas baharu, konservasi anggun bertemu kemewahan kontemporari


  • Hias
  • Isnin, 15 Dis 2025

Seri Negara kini sedang menjalani transformasi besar-besaran bernilai RM600 juta, menggabungkan kemewahan dekorasi moden.

LEBIH satu abad sejarah terukir di ruang dan dinding-dindingnya, kompleks mahligai ikonik Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur kini sedang melalui fasa transformasi monumental.

Selepas ditutup sejak 1 Jun 2019, mercu tanda bersejarah itu giat menjalani projek renovasi bernilai RM600 juta oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dengan sasaran untuk dibuka semula pada 2025.

Projek itu bukan sekadar pemulihan tetapi usaha menghidupkan kembali warisan Kuala Lumpur untuk menggabungkan keagungan seni bina kolonial dengan sentuhan dekorasi kontemporari anggun dan berteraskan kelestarian.

BACA LAGI: Ingin membina dapur idaman? 10 trend reka bentuk perlu dielak supaya tak jejas nilai rumah

BACA LAGI: Fonderia Fendi simbol kekuatan feminin sempena ulang tahun ke-100 jenama

Carcosa Seri Negara yang asalnya dibina oleh Sir Frank Swettenham pada 1896 terkenal dengan gaya seni bina Inggeris kolonial.

Pembinaan semula itu sangat berhati-hati dalam mengekalkan keaslian fasad luaran dan elemen struktur utama.

Dari luar bangunan itu terus menonjol dengan dinding berwarna putih bersih dan bumbung genting berwarna merah oren.

Warna-warna itu mewujudkan kontra yang klasik dan menyerlahkan elemen seni bina seperti tingkap-tingkap berbingkai kemas dan anjung yang luas.

Tiang-tiang bulat putih yang kukuh menopang struktur, sementara balkoni di tingkat atas dihiasi dengan susur tangan berukir yang mencerminkan gaya seni bina era kolonial.

Serambi atau anjung di tingkat atas menampilkan lantai terrazzo berkilat berwarna putih gading dan dihiasi dengan lampu tanglung gaya lama yang tergantung sekali gus memberikan suasana elegan dan berangin.

Terdapat juga bidai luaran berwarna cerah yang berfungsi melindungi daripada sinaran matahari sambil mengekalkan estetika yang lembut.

Dekorasi dalaman pula menyaksikan gabungan material tradisional dan perincian mewah yang bersesuaian dengan tujuan baharu Seri Negara sebagai muzium, galeri seni dan Lindungan-Eko Hotel.

Salah satu elemen dalaman paling menarik perhatian ialah tangga besar yang diperbuat daripada kayu gelap berukir.

Susur tangan yang tebal dan tiang-tiang ukiran memberikan aura kemegahan dan kehangatan tradisional.

Bagi membangkitkan suasana kemewahan dan menawan, ruang dalaman utama dihiasi dengan lampu candelier kristal yang besar dan berkilauan.

Candelier itu tergantung tinggi menerangi ruang legar utama di bawahnya yang dihiasi lantai parket kayu berwarna perang kemerahan.

Ruang legar utama yang dilihat dari sudut atas kini memaparkan kaunter penyambut tetamu kontemporari berwarna putih dan hitam, dibalut dengan garisan melengkung.

Elemen moden itu diserikan lagi dengan kolum putih yang anggun.

Pembaharuan itu juga menampilkan elemen seni yang bersifat interpretatif, seperti pemasangan seni kontemporari yang dilihat di dalam salah satu galeri.

Pemasangan seni itu menampilkan struktur bangunan dalam bentuk model tiga dimensi yang diperbuat daripada bahan lutsinar dan digantung secara bertingkat.

Model itu diterangi dengan lampu, memberikan gambaran terperinci mengenai seni bina kompleks Seri Negara seolah-olah mengupas lapisan sejarahnya.

Dengan pelaburan besar dan fokus kepada konservasi dan pembangunan Lindungan-Eko Hotel, Seri Negara dijangka menjadi lokasi pelancongan ikonik di samping bersedia menjadi tuan rumah kepada acara-acara penting. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram