KETIKA anda berhasrat menjual kediaman, ruang dapur sering kali menjadi daya penarik utama kepada bakal pembeli.
Walaupun pengubahsuaian dan penambahbaikan asas mampu meningkatkan tarikan namun pilihan reka bentuk yang kurang tepat sebenarnya boleh menjejaskan nilai jualan semula.
Beberapa trend reka bentuk yang kelihatan 'terkini' hari ini mungkin akan dianggap lapuk pada masa hadapan.
BACA LAGI: Fonderia Fendi simbol kekuatan feminin sempena ulang tahun ke-100 jenama
Berikut adalah 10 ciri-ciri dapur yang perlu anda elakkan, berserta cadangan alternatif lebih kekal relevan:
1. Jangan: Kabinet berwarna berani
Pilihan warna kabinet terlalu menonjol atau berani mungkin kelihatan unik, tetapi ia menghadkan daya tarikan kepada pembeli dengan citarasa yang sangat spesifik.
Sebaliknya: Pilih warna neutral yang segar seperti putih, hitam atau rona kayu semula jadi kerana warna-warna itu lebih mudah diterima oleh pelbagai lapisan pembeli.
2. Jangan: Rak terbuka berlebihan
Rak terbuka memang tampak bergaya dalam gambar, namun dari segi praktikaliti ia mudah mengumpul habuk dan kelihatan bersepah apabila barang-barang disusun tanpa disiplin.
Sebaliknya: Gunakan rak terbuka secara berhemah, imbangkannya dengan kabinet bertutup bagi memastikan dapur kelihatan bersih, kemas dan berfungsi.
3. Jangan: Kemasan ultra-glossy
Kabinet atau permukaan kaunter yang terlalu berkilat boleh menunjukkan ciri 'mengikut trend' secara keterlaluan, selain mudah memperlihatkan kesan cap jari dan kotoran dengan serta-merta.
Sebaliknya: Utamakan kemasan matte atau satin supaya ia kelihatan lebih sofistikated dan tahan lama, malah tidak dimakan waktu.
4. Jangan: Campuran logam yang melampau
Penggunaan terlalu banyak kemasan logam yang bersaing seperti tembaga, loyang dan krom dalam satu ruang boleh menghasilkan pandangan serabut dan tidak teratur.
Sebaliknya: Pilih satu logam sebagai elemen utama. Jika perlu mencampur, pastikan palet logam tersebut kekal halus dan konsisten antara satu sama lain.
5. Jangan: Reka bentuk industrial berlebihan
Gaya industrial yang terlalu ekstrem, seperti paip terdedah, kaunter konkrit atau suasana seperti gudang semakin kurang mendapat tempat di hati pembeli kediaman.
Sebaliknya: Gabungkan sentuhan industrial yang halus seperti lampu atau aksesori dengan bahan-bahan semula jadi bagi menghasilkan keseimbangan.
6. Jangan: Dapur yang terlalu bertema
Dapur yang sepenuhnya bertema contohnya, terlalu banyak penggunaan kayu gaya rumah ladang atau sepenuhnya putih ultra-moden berkilat boleh membuatkan ia kelihatan seperti kapsul masa.
Sebaliknya: Wujudkan rupa bentuk transisional dengan menggabungkan elemen klasik dengan fungsi moden. Gaya itu lebih mudah diterima dan lebih fleksibel.
7. Jangan: Mozek kecil pada backsplash
Jubin mozek kaca yang kecil-kecil mungkin pernah dianggap chic suatu ketika dahulu, kini ia kelihatan ketinggalan zaman.
Sebaliknya: Pilih jubin berskala lebih besar atau batu semula jadi untuk kemasan backsplash yang kelihatan segar dan bersifat abadi.
8. Jangan: Konsep terbuka terlalu meluas
Dapur yang terdedah sepenuhnya dan bersambung dengan setiap ruang tamu boleh mengurangkan daya tarikan jualan semula kerana pembeli masa kini semakin mendambakan zon ruang yang lebih jelas.
Sebaliknya: Kekalkan dapur yang terbuka tetapi gunakan perincian seni bina seperti pulau dapur atau partial wall untuk memberikan pemisahan ruang tersendiri.
9. Jangan: Pulau dapur yang terlalu dihias
Pulau dapur dengan cat dua tona, pendakap hiasan atau rekaan tepi air terjun yang terlalu mengikut trend mungkin tidak akan bertahan lama nilainya.
Sebaliknya: Reka bentuk pulau dapur anda agar ringkas, berfungsi dan bersesuaian dengan saiz ruang sedia ada.
10. Jangan: Perkakas yang terlalu besar
Ketuhar atau peti sejuk berkembar yang bersaiz terlalu besar boleh merugikan dapur bersaiz kecil dan mungkin menakutkan bakal pembeli.
Sebaliknya: Pilih perkakas yang berskala sesuai, cekap tenaga dan mempunyai ciri-ciri mewah tetapi tidak terlalu menonjol atau menguasai ruang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
