Fenomena Rembayung dari Thailand ke Itali, inspirasi 'glass house' cipta ‘ambiance’ pembuka selera


  • Hias
  • Ahad, 14 Dis 2025

Struktur binaan semi glass house Rembayung yang bernilai RM4 juta ini menjadi penanda aras konsep restoran baharu Khairul Aming, setanding dengan kafe moden popular dari Thailand hingga ke Itali.

PEMBUKAAN restoran pertama usahawan digital terkenal, Khairul Aming, yang diberi nama Rembayung pada Januari 2026 bukan sekadar menandakan pelaburan fizikalnya yang mencecah RM4 juta.

Beliau turut memperkenalkan konsep seni bina yang kian popular di peringkat global iaitu ‘semi glass house’ atau rumah kaca separa.

Rembayung yang terletak di lokasi strategik Kampung Baru, kira-kira sembilan minit dari Menara Berkembar Petronas (KLCC), dijangka menjadi mercu tanda baharu bagi hidangan Melayu moden.

BACA LAGI: Pelaburan berbaloi, 5 jenis cat generasi baharu bukan sekadar hiasan malah menguntungkan tuan rumah

BACA LAGI: Ingin membina dapur idaman? 10 trend reka bentuk perlu dielak supaya tak jejas nilai rumah

Konsep itu menggabungkan elemen tradisional kampung dengan seni bina moden dan pencahayaan semula jadi yang maksima.

Khairul Aming, dalam kenyataannya, menjelaskan pemilihan konsep ini.

"Konsep yang kita pilih adalah rumah kaca separa yang ke arah gudang untuk menampung kehadiran pelanggan Khairul Aming yang bukan sahaja dari Malaysia tetapi dari serata dunia. Dari segi dapur pula, kita melabur lebih daripada RM500,000 untuk membina dapur yang selesa bagi cef-cef kita memasak dan di dalamnya dilengkapi semua peralatan terbaik dan baharu sahaja," katanya.

Beliau menambah, reka bentuk dalaman Rembayung bertujuan mengangkat elemen kampung di tengah-tengah ibu kota.

Ia banyak bermain dengan elemen kayu, tumbuhan hijau, dan dilengkapi sistem pengudaraan mega untuk mencipta suasana nyaman seperti di desa.

"Bila pelanggan masuk ke restoran ini, ia akan memberikan satu pengalaman menjamu selera yang berbeza. Bukan sekadar visual, tetapi suasananya juga kita mahu biar pelanggan teringat akan kampung," ujarnya.

Pelaburan besar itu, merupakan pelaburan tunggal terbesar Khairul Aming setakat ini yang turut menyediakan peluang pekerjaan kepada sekitar 50 anak tempatan bagi menjana sumbangan signifikan kepada ekonomi komuniti.

Konsep rumah kaca atau rumah kaca separa yang dipilih untuk Rembayung sebenarnya sudah lama menjadi trend dalam seni bina kafe dan restoran di beberapa negara lain.

Konsep itu diminati kerana ia menawarkan pengalaman makan yang unik dengan memanfaatkan cahaya semula jadi dan memberikan pemandangan sekeliling seterusnya mencipta suasana lapang, tenang dan moden.

Berikut adalah beberapa kafe dan restoran popular di seluruh dunia yang turut menggunakan konsep seni bina gudang dengan elemen kaca yang sama seperti Rembayung.

1. Nittaya Kai Yang, Thailand

Restoran terkenal ini menampilkan rekaan yang menyatukan unsur tradisional Thailand dengan kemasan moden kaca dan gudang. Ia bukan sahaja menawarkan hidangan ayam panggang ikonik, tetapi juga pengalaman ruang makan yang terang dan terbuka, selari dengan iklim tropika.

 

2. Lucciano's, Itali

Di negara Eropah ini, konsep ‘semi glass house’ sering digunakan untuk butik pencuci mulut dan kafe. Lucciano's terkenal kerana menggabungkan kemasan industri gudang dengan dinding kaca besar, membolehkan pelanggan menikmati pencuci mulut sambil disinari cahaya semula jadi atau pemandangan bandar.

3. Cafe 322, Korea Selatan

Korea Selatan merupakan antara peneraju trend kafe berkonsep unik. Cafe 322 sering menampilkan reka bentuk minimalis dengan struktur kaca dan besi yang memanfaatkan sepenuhnya persekitaran semula jadi.

Kafe yang terletak di lokasi mewah ini sering memfokuskan kepada hidangan kelas atasan seperti Steak House yang menggunakan daging lembu Hanwoo dan Wagyu Australia, serta hidangan gaya Teppanyaki.

4. The Coffee House, Vietnam

Rantaian kafe popular di Vietnam ini sering menerapkan seni bina yang menggabungkan ketinggian siling gudang dengan fasad kaca, mewujudkan ruang sosial yang besar, selesa dan penuh gaya kontemporari bagi peminat kopi.

5. Black Barn, Arab Saudi

Mencerminkan pembangunan pesat di rantau tersebut, Black Barn menggunakan struktur gudang yang besar dengan elemen kaca yang banyak. Restoran ini mengkhusus dalam hidangan makanan segera premium seperti Original Crispy Burger selain pilihan lain seperti Honey Spicy Crispy Burger.

6. Grandis Barn, Indonesia

Di negara jiran, kafe dan restoran berkonsep ‘barn’ atau gudang yang menggunakan kaca turut mendapat sambutan hangat. Grandis Barn menampilkan suasana makan yang berlatar belakangkan taman hijau yang indah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram