CINTA tidak mengenal sempadan, namun adakah cinta mampu menampung kos sara hidup yang semakin mencabar?
Inilah dilema yang dihadapi oleh seorang wanita yang baru-baru ini meluahkan isi hatinya di platform media sosial Threads, mencetuskan pelbagai reaksi dan nasihat daripada warganet.
Wanita tersebut berkongsi kisah perkenalannya dengan seorang lelaki dari Mesir, khususnya Cairo, yang ditemui melalui aplikasi mencari jodoh, Muzz.
BACA LAGI: Seni adegan intim dalam K-drama: Metafora sebagai ruang tontonan 'selamat'
"Siapa sini kahwin dengan lelaki Mesir terutama Cairo? Saya tengah berkenalan dengan seorang ini daripada Muzz. Dia baik dan sempurna. Kekurangannya dia tidak kaya sahaja. Dia duduk rumah pangsa biasa, gaji pun 1,000 EGP (RM86) sebulan. Tiada harta. Bulan Februari ini insyaALLAH dia datang jumpa ayah saya. Nak kahwin. Saya suka dia. Ada yang sama tak sini?"
Luahan tulus itu segera menarik perhatian ramai warganet, namun majoriti nasihat yang diterima menjurus kepada satu kesimpulan iaitu tinggalkan lelaki tersebut.
Isu utama yang menjadi perhatian adalah jumlah gaji lelaki tersebut. Warganet, terutama mereka yang mempunyai pengetahuan tentang ekonomi Mesir, segera memberi amaran keras mengenai realiti nilai 1,000 Pound Mesir (EGP) dalam konteks kos sara hidup semasa.
Seorang pengguna lelaki menegaskan perbandingan yang sangat jauh: "Adakah anda setuju dengan gaji 1,000 EGP? Orang kita yang duduk Malaysia gaji asas RM1,700 pun sengsara. Fikirkanlah."
Komen yang paling memberi kesan datang daripada seorang wanita yang sudah pun berkahwin dengan lelaki Mesir: "Lari adik. 1,000 EGP itu RM100 pun tidak sampai. Suami saya orang Mesir, tetapi dia pun tepuk dahi sahaja bila saya beritahu dia tentang perkara ini. Miskin memang tidak salah, tetapi sekufu itu penting. Hidup di Cairo, gaji 1,000 EGP, pastinya duduk rumah pangsa mak bapa. Hendak kahwin duduk mana, makan pakai dan lain-lain? Fikir panjang-panjang ya. Jangan cair sangat dengan kata manis dan muka kacak (kalau kacaklah)."
Pengguna lain pula menyifatkan keadaan kewangan lelaki tersebut berada pada tahap kritikal.
"Ini bukan tidak kaya dik, ini daif tegar haram kahwin."
Seorang warganet yang mempunyai pengalaman menetap di Mesir mengesahkan lagi kebimbangan tersebut, sambil menekankan isu inflasi.
"1,000 EGP adalah seperti di bawah RM100. Lebih baik fikir masak-masak. Inflasi di Mesir ini dahsyat, barang mahal."
Untuk makluman, nilai tukaran semasa 1,000 EGP adalah sekitar RM80 hingga RM100 bergantung pada kadar pertukaran.
Jumlah ini dianggap tidak munasabah untuk menanggung kehidupan berumah tangga di mana-mana bandar besar di dunia, apatah lagi di Cairo yang merupakan ibu negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
