MAJLIS Perarakan Kesatuan (Union Parade) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila sekumpulan penunggang kuda perempuan tampil pertunjukan khas buat Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Aksi spontan dan mesra itu kemudiannya tular di laman sosial bila mana Sheikh Mohamed kelihatan turut membalas tabik hormat pada remaja berkenaan.
Tampil berpakaian tradisional, mereka melakukan aksi menunggang sambil memberi tabik hormat sebagai simbolik keberanian wanita di negara tersebut.
BACA LAGI: 'Belajar memulih dan menghargai', Syamimiaa cat semula koridor PPR didiami lebih 23 tahun
BACA LAGI: 'Bukan orang senang', pelajar terharu ibu hadiahkan telefon pintar walau bukan jenama mahal
Sheikh Mohamed, yang terkenal dengan sikap ramah dan dekat dengan rakyat turut menyatakan rasa bangga terhadap semangat perpaduan dipamerkan.
"UAE memperoleh kekuatan daripada rakyatnya yang setia dan komited untuk berkhidmat kepada negara," katanya.
Antara penunggang paling mencuri perhatian ialah Fatima Ahmed Al Rumaithi, 11, dari Al Samha, Abu Dhabi.
Membesar dalam keluarga sederhana, Fatima difahamkan sudah biasa menunggang unta sejak kecil bersama bapanya dan minatnya terhadap kuda bermula pada usia empat tahun sebelum latihannya terhenti seketika akibat pandemik Covid-19.
Tahun ini, Fatima meneruskan latihannya di Bodhib Stables, sebelum bakatnya dikesan oleh Kapten Ali Al Ameri daripada persatuan Rahaal Stables.
"Saya tak gementar, cuma sangat teruja, hadiah paling bermakna ialah senyuman dan tepukan Presiden, menunggang kuda ajar saya tentang ketabahan dan kerja keras," kata Fatima.
Turut melakukan persembahan ialah dua beradik Latifa Yahya Al Kathiri, 11, dan Wadima Yahya Al Kathiri, 12.
Mereka mula menunggang sejak kecil kerana kagum dengan kecantikan dan kekuatan kuda.
Jelasnya, sokongan dan dorongan keluarga membawa mereka ke Akademi Bodhib untuk menjalani latihan secara profesional.
“Sukan berkuda dah jadi sebahagian daripada hidup kami, ibu bapa tahu ia membina keyakinan dan keberanian, sebab itu mereka sokong," ujar Latifa.
Tempoh latihan selama tiga tahun membuatkan mereka mahir dalam pelbagai disiplin termasuk ketahanan sejauh 80km, acara lompat jauh yang mana mereka pernah menang dua pertandingan serta teknik menunggang helah seperti berdiri di atas kuda.
Malah, mereka turut mempelajari latihan kuda bagi memahami bagaimana haiwan itu berkomunikasi.
“Kuda ada bahasa sendiri,dan bila kita faham, hubungan itu jadi lebih kuat, kami gembira dapat mewakili wanita UAE dan bangga dapat beraksi depan Presiden,” ujarnya.
Aksi penunggang muda itu bukan saja memeriahkan perarakan, malah mencerminkan minat berkuda dalam kalangan wanita UAE terus berkembang seiring tradisi negaranya yang kaya dengan sejarah berkuda. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
