Bakat seni dipinggirkan, remaja miliki 700 trofi lukisan gagal diterima bersekolah


  • Bonda
  • Jumaat, 12 Dis 2025

Arista Widiyanti gagal diterima bersekolah di sektor pendidikan awam walaupun memiliki pencapaian cemerlang bidang seni.

 

 

SEORANG remaja berbakat seni dengan koleksi lebih 700 trofi pelbagai kejohanan tular selepas dilaporkan gagal diterima masuk bersekolah di sektor pendidikan awam.

Arista Widiyanti, seorang pelajar dari Jakarta, Indonesia, mengetengahkan dilema dihadapi oleh ramai kanak-kanak berbakat luar biasa yang tidak dihargai peringkat akademik.

Beliau difahamkan tidak berjaya mendapatkan tempat di mana-mana Sekolah Menengah Atas (SMA) Negeri di Jakarta walaupun memiliki pencapaian seni yang luar biasa.

BACA LAGI: 'Belajar memulih dan menghargai', Syamimiaa cat semula koridor PPR didiami lebih 23 tahun

BACA LAGI: 'Bukan orang senang', pelajar terharu ibu hadiahkan telefon pintar walau bukan jenama mahal

Arista yang terkenal dengan pencapaian cemerlang dalam bidang seni visual telah mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan lukisan sejak usia muda.

Beliau dilaporkan telah memenangi anugerah termasuk tempat pertama dan ketiga di peringkat kebangsaan, serta mengumpulkan lebih daripada 700 trofi dari kejohanan pertandingan seni yang berbeza.

Namun, prestasi akademiknya yang kurang memberangsangkan telah menjadi halangan terbesar beliau untuk memasuki sekolah menengah awam.

 

 

 

 

Berdasarkan sistem penerimaan pelajar baharu melalui PPDB (Penerimaan Peserta Didik Baru) di Indonesia, calon biasanya dinilai berdasarkan purata gred akademik, usia yang memenuhi syarat, serta prestasi dalam kategori tertentu seperti sains, sukan atau seni bergantung kepada dasar sekolah masing-masing.

Dalam kes Arista, walaupun gred akademiknya tidak berada pada paras yang dikehendaki, prestasi seni dimilikinya dilihat tidak mencukupi atau kurang diberi berat dalam proses pemilihan rasmi.

Ia sekali gus membuktikan bahawa kejayaan dalam bidang bukan akademik seperti seni dan kreativiti sering tidak diberi pengiktirafan setimpal ekoran pendidikan formal yang hanya tertumpu kepada penilaian akademik semata-mata.

Situasi itu mengundang pertikaian masyarakat yang bimbang akan bakat remaja lain seperti Arista akan turut terbuang dan mengakibatkan mereka tercicir dari sistem sekolah.

Keluarga Arista turut menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kurangnya ruang dan sokongan bagi pelajar bakat seni untuk menembusi sistem pendidikan tradisional.

Mereka dalam masa sama turut menyeru pihak berwajib agar menimbang semula kriteria penerimaan sekolah supaya lebih inklusif terhadap pelajar yang memiliki kelebihan luar akademik.

Walaupun Arista masih belum menerima tawaran sekolah, ramai berharap bahawa pengalaman beliau akan dijadikan pemangkin perubahan terhadap sistem pendidikan di Indonesia untuk lebih menghargai bakat seni. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram