TELEFON pintar kini menjadi salah satu keperluan utama bagi pelajar untuk urusan pembelajaran harian sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti.
Daripada menyiapkan tugasan, menghadiri kelas dalam talian, hinggalah berkomunikasi dengan guru, rata-rata operasi pembelajaran dilaksanakan secara digital seiring perkembangan teknologi hari ini.
Namun, tidak semua keluarga mampu menyediakan gajet terkini yang sering menjadi impian ramai remaja ekoran harga yang terlampau mahal dan melebihi kemampuan pendapatan.
BACA LAGI: 'Arif sampai sorok laptop', Mila Jirin belajar bahagi masa kerjaya, elak anak rasa tersisih
BACA LAGI: Akrab berdua sejak kecil, kakak reda pemergian adik lepas bertarung nyawa hidap tumor otak
Bagi sesetengah individu, memiliki sebuah telefon asas yang berfungsi dengan baik sudah cukup memadai dan besar maknanya.
Perkara itu dilalui seorang pelajar yang kisahnya tular baru-baru ini, apabila dia berdepan kesukaran menyiapkan kerja sekolah akibat telefon lamanya difahamkan telah pun rosak.
Peranti berkenaan mengalami masalah rangkaian sehingga memaksanya meminjam sambungan internet rakan setiap kali perlu menghantar tugasan.
Dalam keadaan ramai rakan sebayanya berkongsi di media sosial tentang kejutan menerima telefon pintar serba mewah dan canggih, pelajar berkenaan hanya menyimpan impian memiliki sebuah telefon yang boleh digunakan untuk belajar.
Menurut perkongsian ibu saudaranya menerusi akaun @surprisebouquet_kuantan di laman Threads, situasi itu walau bagaimanapun sama sekali tidak menghalangnya meneruskan pelajaran dan tetap berusaha menyiapkan segala tugasan sekolahnya.
Menyedari perkara tersebut, ibunya tampil membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah model telefon baharu yang berpatutan mengikut kemampuan keluarganya.
"Anak orang lain dapat suprise iPhone 15,16,17 tapi ini lah seketul kakak yang besar impiannye buat ibu abah dia.
"Telefon yang dia guna untuk belajar rosak tiba-tiba line tak naik terpaksa kena pinjam hotsport kawan buat kerja sekolah.
"Ibu dia suprise untuk dia, walau telefon biasa dia punya terharu dan hargai ibu dia lebih besar dari segalanya sebab dia tahu dia bukan anak orang senang," ujarnya.
Perkongsian itu dihujani doa dan kata-kata semangat daripada warganet yang memuji sikap pelajar itu kerana tetap bersyukur dan menghargai pengorbanan ibunya.
"Aamiin, terima kasih semua yang mendoakan kakak dan ibunya, saya ibu sedaranya, semoga doa-doa itu semua berbalik kepada kalian juga," tambahnya lagi.
Momen itu sekali gus menjadi peringatan bahawa nilai sebuah hadiah tidak terletak pada harganya, tetapi pada usaha, kasih sayang dan pengorbanan di sebaliknya.
Bahkan, ia sesuatu yang jauh lebih bernilai daripada mana-mana jenama telefon pintar menjadi kegilaan kebanyakan remaja sebayanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
