[VIDEO] Tanda penghargaan, 12 beradik hadiahkan kereta mewah sempena 'anniversary' mak abah


  • Bonda
  • Selasa, 09 Dis 2025

Pasangan suami isteri sebak menerima hadiah dan kejutan istimewa daripada anak-anaknya sempena ulang tahun perkahwinannya.

 

JASA dan pengorbanan ibu bapa merupakan satu perkara yang tidak boleh dijual beli, bahkan mustahil untuk dibayar dengan wang ringgit.

Namun, setiap keringat mereka membesarkan dari bayi hingga ke dewasa wajar dihargai dengan seikhlas hati selagi masih mempunyai ibu dan bapa di muka bumi.

Mesej itu cuba disampaikan oleh 12 beradik ini yang meluahkan tanda kasih sayang serta penghargaan khas buat kedua ibu bapanya sempena ulang tahun perkahwinannya baru-baru ini.

BACA LAGI: 'Arif sampai sorok laptop', Mila Jirin belajar bahagi masa kerjaya, elak anak rasa tersisih

BACA LAGI: Ibu 3 anak kenang jasa suami tercinta, dinobat pelajar terbaik Sarjana Kewangan UIAM

Sepakat menghadiahkan sebuah kereta mewah buat ibu bapa tersayang, hadiah tersebut bukan sekadar simbol kemewahan, tetapi tanda terima kasih atas cinta, didikan dan pengorbanan yang membentuk siapa mereka hari ini.

Perkongsian oleh salah seorang anak, Siti Hajar di laman Instagram menarik perhatian ramai apabila beliau menzahirkan ucapan penuh emosi buat ibu dan bapanya yang disambut dengan ucapan 'Happy Anniversary Mak & Abah'.

Menurutnya, segala kejayaan adik-beradiknya berakar daripada nilai sabar dan kasih sayang yang diterapkan oleh ibu bapa sejak kecil.

"Mak dan Abah adalah rumah kami 12 beradik, tempat kami belajar erti sabar, hormat dan sayang. 

"Terima kasih untuk kasih sayang, doa dan pengorbanan yang tak pernah putus sejak dulu sampai sekarang," ujarnya.

 

 

Beliau turut menjelaskan bahawa hadiah tersebut hanyalah usaha kecil untuk menggembirakan kedua-dua insan itu, jauh daripada memadai untuk membalas jasa yang tidak ternilai.

"Kereta boleh dibeli, tapi kasih sayang, doa dan pengorbanan yang mak dan abah beri sejak kecil itu tak ternilai dan takkan pernah terbalas," katanya.

Siti Hajar turut mendoakan agar ibu bapanya dikurniakan umur yang panjang, rezeki yang luas dan kesihatan yang baik serta terus hidup dalam kebahagiaan hingga ke akhir hayat.

Ucapan itu ditutup dengan penghargaan yang menyentuh hati, ditujukan atas nama kesemua 12 adik-beradiknya.

"Terima kasih kerana menjaga dan membesarkan kami adik-beradik dengan penuh kasih sayang, doa dan pengorbanan yang tak pernah berhenti. 

"Mak dan abah adalah sumber kekuatan serta inspirasi kami untuk terus berjaya di dunia dan di akhirat," tambahnya.

Perkongsian berkenaan mendapat pujian ramai yang tersentuh dengan keakraban keluarga besar itu, sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat tentang pentingnya menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram