'Arif sampai sorok laptop', Mila Jirin belajar bahagi masa kerjaya, elak anak rasa tersisih


  • Bonda
  • Selasa, 09 Dis 2025

Mila Jirin sentiasa cuba membahagikan masa antara kerjaya dan kepentingan bersama anaknya.

DILEMA antara kepentingan kerjaya dan keluarga semakin ketara terutamanya melibatkan golongan ibu yang memiliki karier.

Tekanan untuk terus produktif dalam bidang diceburi kadangkala membataskan waktu bersama anak-anak yang akhirnya menjurus isu salah faham serta kekecewaan pada si kecil.

Situasi itu turut dirasai penyanyi dan usahawan, Mila Jirin yang berkongsi pengalaman peribadinya apabila anaknya, Mohd Arif Zikri mula memberontak usai dirinya terlampau sibuk dengan pekerjaan.

BACA LAGI: Ibu 3 anak kenang jasa suami tercinta, dinobat pelajar terbaik Sarjana Kewangan UIAM

BACA LAGI: Akrab berdua sejak kecil, kakak reda pemergian adik lepas bertarung nyawa hidap tumor otak

Menurut pemilik empayar Bizmilla Wedding Centre itu, satu pertanyaan ringkas daripada anak lelakinya baru-baru ini membuatkan beliau terdiam panjang dan memikirkan semula tentang keseimbangan hidupnya sebagai ibu serta usahawan.

"Mommy, why you work every day and don’t spend time with me?" kata-kata yang diluahkan anaknya itu menjadi titik refleksi buat Mila.

Tambahnya, ada ketika Arif pernah menyembunyikan komputer ribanya kerana merasakan ibunya terlalu memilih kerja berbanding meluangkan masa bersama.

 

 

Akui beban kerja sebagai usahawan membuatkannya sering berada dalam mod sentiasa bekerja, namun hari demi hari beliau belajar memperbaiki diri, mencari keseimbangan antara tanggungjawab profesional dan keperluan anaknya.

"Sebagai entrepreneur mom, ini real, kerja tak pernah habis. Rasa bersalah itu memang selalu hadir tapi hari demi hari saya belajar balance, bertolak ansur, letakkan masa dengan Arif sebagai priority," katanya.

Baginya, situasi sebegini bukan berlaku kerana dirinya tidak menyayangi anak, tetapi kerana terlalu kuat berusaha demi masa depan keluarga.

Namun, beliau percaya kesedaran dan perubahan kecil dalam rutin harian mampu memberi impak besar kepada emosi anak.

Terdahulu, pelantun lagu Persis Mutiara tersebut mendedahkan anak lelakinya yang baru berusia lapan tahun itu sudah menunjukkan kecenderungan terhadap dunia perniagaan hasil pendedahan awal diberikan di rumah.

Mila menyedari minat anaknya terhadap perniagaan semakin terserlah apabila si kecil itu mula mengaitkan pelajaran termasuk subjek Matematik dengan dunia keusahawanan.

“Kadangkala ketika mengira, dia akan kaitkan dengan bisnes, dari situ saya nampak bagaimana pendedahan awal memberi kesan kepada cara dia berfikir," katanya.

Tambahnya, setiap kali berpeluang melakukan urusan kerja luar kawasan, beliau akan membawa anaknya bersama bagi memberi pendedahan terhadap dunia sebenar keusahawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram