KASIH ibu bawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa.
Ungkapan itu sesuai digambarkan menerusi kegigihan seorang bapa menghidap penyanyit Parkinson ini yang cekal mengiringi anak perempuannya pada hari perkahwinannya.
Momen tersebut bukan sahaja menyentuh hati keluarga, malah turut menarik perhatian ramai apabila kisahnya tular di laman sosial.
BACA LAGI: 'Arif sampai sorok laptop', Mila Jirin belajar bahagi masa kerjaya, elak anak rasa tersisih
BACA LAGI: Akrab berdua sejak kecil, kakak reda pemergian adik lepas bertarung nyawa hidap tumor otak
Stephanie, pengantin perempuan yang diraikan berkongsi bahawa keadaan bapanya, Tatay Allan kini semakin sukar dengan pergerakan tidak terkawal akibat penyakit Parkinson.
Namun, pada hari bahagianya, Allan tetap tekad memimpin tangan anaknya menuju ke pelamin.
"Keadaan ayah saya sangat teruk sekarang, pergerakannya pun terbatas tapi dia tetap gembira sebab dapat membawa saya ke pelamin," kata Stephanie mengimbau detik tersebut.
Dalam pada itu, Parkinson merupakan gangguan degeneratif pada sistem saraf yang menyebabkan gegaran, kekakuan otot, masalah keseimbangan serta pergerakan tidak terkawal.
Menurut Mayo Clinic, penyakit itu biasanya berkembang secara perlahan dan boleh memberi kesan ketara terhadap keupayaan seseorang untuk bergerak serta bercakap.
Walaupun ubat-ubatan boleh membantu mengawal gejala, tiada rawatan yang benar-benar mampu menyembuhkan kondisi tersebut.
Berkongsi lanjut situasi tersebut, Stephanie dan keluarganya pernah menyuarakan kebimbangan bahawa Allan akan menjadi perhatian kerana keadaannya kesihatannya yang kian merosot.
Namun, rasa kasih yang begitu mendalam terhadap anaknya membuatkan Allan tidak mempedulikan persepsi para tetamu.
Dengan langkah perlahan, beliau tetap mengiringi Stephanie kepada lelaki pilihannya yang menanti di pelamin.
Lebih menyentuh hati, Allan turut bangun memberikan ucapan pada majlis resepsi anaknya walaupun tubuhnya keletihan.
"Anak saya akhirnya jumpa cinta sejati, Rodel (pengantin lelaki) jagalah anak saya, saya tahu dia sangat sayang kamu.
"Terima kasih sebab menjadi lelaki yang baik," ucap Allan pada majlis berkenaan.
Allan disahkan menghidap Parkinson pada 2013 dan kini, keluarganya terus mencari rawatan terbaik selain memberi sokongan emosi dan fizikal bagi memastikan beliau mendapat penjagaan sewajarnya.
Biarpun diuji penyakit kronik, semangat dan kasih seorang insan bergelar bapa tetap menjadi kekuatan untuk terus melangkah demi meraikan hari bahagia anak perempuannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
