PELAKON dan usahawan, Shakilla Khoriri mencuri perhatian warganet apabila tampil mengenakan pakaian retro pada majlis graduasi anaknya, Ameena Sofia baru-baru ini.
Baginya, menepati tema bukan semata-mata soal penampilan, tetapi simbol sokongan buat si kecilnya yang melalui proses pembelajaran penuh cabaran sejak tiga tahun lalu.
Shakilla menerusi perkongsian di Instagram berkata, kehadirannya berperanan sebagai dorongan selain mahu sentiasa berada di belakang anaknya tidak kira apa jua dihadapi.
BACA LAGI: Akrab berdua sejak kecil, kakak reda pemergian adik lepas bertarung nyawa hidap tumor otak
"Pergi majlis, kalau ada tema ikutlah, support dan meriahkan event especially untuk anak just for fun," ujarnya.
Menurutnya, tempoh tiga tahun Ameena di alam prasekolah bukan perjalanan mudah.
Sebagai ibu, Shakilla mengakui banyak perkara terpaksa ditepis demi memastikan anaknya membesar dalam suasana yang gembira, selamat serta bebas meneroka fasa kanak-kanaknya.
"Perjalanan Ameena bukan senang tapi hari ini, Umi boleh tersenyum tengok siapa Ameena hari ini anak yang menyenangkan, ringan tulang dan suka membantu orang," katanya.
Baginya, kejayaan kecil seperti hari graduasi Ameena adalah bukti bahawa segala pengorbanan dicurahkan tidak sia-sia.
Dia berharap Ameena terus membesar sebagai anak yang baik, berdikari dan berakhlak selain sentiasa dilindungi dalam setiap langkah masa depannya.
“Perjalanan Ameena masih panjang, Umi tak tahu nak rasa apa tapi umi bangga jadi umi Ameena.
"Hari ni umi berjuang bukan sorang tapi ada ramai dekat belakang umi yang menyokong dan ada untuk kita," tambahnya.
Cabaran membesarkan anak
Selepas melalui perceraian pada 2021, Shakilla menggalas peranan sebagai ibu tunggal kepada Ameena sebelum berkahwin semula pada Februari 2024.
Dalam tempoh itu, dia menguruskan sendiri pendidikan, emosi dan perkembangan harian anaknya, termasuk memastikan Ameena kekal stabil walaupun melalui perubahan struktur keluarga.
Awal tahun lalu, mahkamah menetapkan bahawa Shakilla memegang hak penjagaan interim terhadap Ameena.
Keputusan itu memberi ruang buatnya untuk mengatur kehidupan anak dengan lebih baik sambil memastikan segala keputusan dibuat demi kebajikan Ameena.
Fasa baharu perkahwinan
Pada Februari 2024, Shakilla menamatkan episod ibu tunggal apabila selamat berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Mohd Fariz Zulkepley.
Walaupun mempunyai pasangan baharu, Shakilla sentiasa mengutamakan perkembangan anaknya dan memastikan Ameena membesar dalam persekitaran stabil serta penuh kasih sayang.
Malah, pelakon drama Adam & Hawa (2012) itu turut mengakui banyak pengorbanan telah dilakukan termasuk menguruskan perniagaan sendiri demi menampung keperluan hidup dan pendidikan anaknya.
"Sebagai parents, berjuanglah untuk suatu masa ni, banyak yang aku korbankan untuk Ameena tapi aku yakin, aku mungkin banyak kalah dan lelah sekarang tapi inshallah ALLAH bantu panjangkan doa aku yang seorang pendosa ni untuk Ameena Sofia," ujarnya mengakhiri perkongsian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
