Berbelanja 'travel' lebih berbaloi berbanding beli mainan, 5 manfaat ibu bapa bawa anak bercuti


  • Bonda
  • Selasa, 09 Dis 2025

Aktiviti percutian bersama si kecil menjadi pilihan ibu bapa berbanding sekadar menghabiskan masa menonton televisyen dan patung permainan semata-mata. — Gambar hiasan/Janaan AI

SUDAH menjadi kelaziman golongan kanak-kanak disajikan dengan barangan mainan dan patung seiring dengan fasa usia mereka.

Tidak dinafikan, segelintir daripadanya mampu memberikan impak positif kepada si kecil sekiranya digunakan dalam bentuk pendidikan dan sensori mereka.

Namun, peredaran dunia yang semakin berkembang maju kini membuka pelbagai lagi pilihan serta kaedah boleh digunakan dalam merangsang perkembangan anak sejak usia bayi.

BACA LAGI: Akrab berdua sejak kecil, kakak reda pemergian adik lepas bertarung nyawa hidap tumor otak

BACA LAGI: 'Dia jadi lebih berani, kurang tantrum', bapa kongsi kelebihan hiking bersama 2 anak sejak bayi

Antara yang paling popular di kalangan ibu bapa khususnya generasi Z hari ini ialah aktiviti percutian yang diteroka bersama si kecil.

Berikut merupakan lima kebaikan dan impak positif aktiviti travel berbanding sekadar patung permainan semata-mata.

Aktivti pendakian misalnya antara yang cukup popular di kalangan ibu bapa yang gemar melakukan bersama si kecil. — Gambar hiasan/Janaan AI

 

1. Pengalaman berharga

Pengalaman bercuti sama ada tidur dalam khemah, berjalan di tepi pantai, menaiki feri atau meneroka perjalanan jauh terbukti mencipta memori indah sehingga dewasa.

Berbeza seperti mainan yang hilang, rosak atau dilupakan, pengalaman percutian berupaya membentuk personaliti menarik. 

2. Sisi berbeza ibu bapa

Anak tidak hanya melihat ibu bapa sebagai figura tegas yang mengurus rutin harian, tetapi sebagai individu berbeza yang mampu meneroka dunia baharu yang lebih mencabar. 

Situasi sedemikian secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan kerana proses pembelajaran itu jarang berlaku dalam rutin harian di rumah.

3. Tingkatkan keyakinan anak

Kanak-kanak yang kerap melihat budaya, makanan dan suasana baharu lebih mudah menyesuaikan diri dengan cabaran di masa akan datang. 

Mereka belajar bahawa dunia itu cukup luas dan tidak menakutkan seperti yang dibayangkan. 

Malah, ia sekali gus membina fleksibiliti terhadap pemikiran, keyakinan diri serta mengurangkan rasa cemas apabila berhadapan sebarang perubahan. 

4. Kasih sayang erat

Suka duka sepanjang merantau ataupun bercuti ke negara luar misalnya akan sentiasa memahat memori indah jika dikenang semula satu hari nanti.

Ikatan kekeluargaan serta emosi si kecil khususnya akan lebih terbentuk melalui persefahaman yang terbina yang akhirnya membentuk sebuah keluarga yang harmoni.

5. Keluarga satu pasukan

Apabila bercuti, semua ahli keluarga belajar berfungsi sebagai satu unit yang mampu menyelesaikan masalah dan membantu satu sama lain. 

Sikap bekerjasama ini membina sebuah keluarga yang lebih sihat dan membantu anak membesar dengan nilai kerjasama, toleransi serta empati. 

Semakin ramai ibu bapa hari ini bersetuju bahawa nilai sebenar percutian keluarga bukan terletak pada lokasi mewah atau kos yang tinggi, tetapi pada pengalaman bersama yang dibina sepanjang perjalanan. 

Bahkan, dalam dunia serba pantas hari ini, masa berkualiti bersama anak semakin menjadi keutamaan terutamanya bagi pasangan yang sibuk bekerja.

Justeru, melabur dalam perjalanan walaupun sekadar percutian ringkas dan sederhana mampu memberikan pulangan emosi yang jauh lebih besar berbanding timbunan mainan semata-mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram