'Dia jadi lebih berani, kurang tantrum', bapa kongsi kelebihan hiking bersama 2 anak sejak bayi


  • Bonda
  • Ahad, 23 Nov 2025

Hazwan sering meluangkan masa rekreasi dan aktiviti pendakian bersama seisi keluarganya.

ANAK lebih yakin dan kurang tantrum. Itu perubahan positif dirasai seorang bapa, Hazwan Harawi apabila menjadikan aktiviti mendaki sebagai rutin bersama dua anaknya sejak peringkat bayi.

Di zaman ini, kebanyakan ibu bapa kini semakin terbuka mencari pendekatan terbaik untuk membina keyakinan serta perkembangan emosi anak kecil.

Aktiviti luar seperti mendaki khususnya semakin mendapat perhatian kerana manfaatnya yang diyakini mampu memberi kesan positif terhadap mental dan sosial kanak-kanak.

BACA LAGI: Gigi Hadid jadi guru ganti, ajar kanak-kanak beraksi persis model ‘catwalk’

BACA LAGI: 'Macam tetamu kehormat', guru baharu disambut meriah pelajar di jeti pedalaman Sarawak

Namun, bagi Hazwan, hiking bukan sahaja sekadar hobi, malah menjadi terapi semula jadi buat anak-anaknya.

Menurutnya, perubahan paling ketara dapat dilihat pada anak perempuannya, Hana yang kini semakin tenang dan kurang mengalami tantrum sejak kali pertama dibawa aktiviti pendakian bersama seawal usia sembilan bulan.

"Antara kebaikan yang saya nampak, bila bawa keluar macam ni bila nampak Hana, dia tantrum tapi dia kuranglah, dia tak tantrum macam dulu dah saya tengok,” katanya berseloroh.

"Confidence dia memang nampak, kalau pergi mana-mana, dia tak segan dengan orang mungkin sebab bila hiking, orang selalu tegur, dia dah biasa dengan orang, jadi dia boleh tegur orang, jalan sendiri pun dia tak gentar," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, anaknya hanya menunjukkan tantrum apabila penat atau lapar, selebihnya mereka berada dalam keadaan baik sepanjang aktiviti dijalankan.

Selain menjadikan pendakian sebagai rutin mingguan, usahawa pemasaran digital itu turut menyimpan impian untuk berkongsi pengalaman mendaki di lokasi lebih mencabar apabila anak-anaknya meningkat usia kelak.

"Maybe satu hari nanti bila anak dah besar sikit, umur lima ke enam tahun, saya nak bawa dia pergi hiking dekat Annapurna Base Camp, Nepal contohnya, tapi bila dia besar lah, bukan saya galas dia, kalau galas memang tak larat," katanya berseloroh.

Namun, beliau menegaskan bahawa aktiviti itu bukan bertujuan memaksa anaknya menjadi individu yang meminati outdoor, sebaliknya lebih kepada masa berkualiti bersama.

"Saya buat aktiviti ni sebagai cara untuk saya luangkan masa dengan dia, saya tak sasar pun untuk dia jadi outdoor person cuma kalau bila dah besar nanti dia tak minat, saya okey saja," ujarnya.

Katanya, selagi anak-anak menunjukkan perkembangan positif sama ada emosi, sosial atau keyakinan diri, itu sudah memadai sebagai hasil paling berharga daripada setiap aktiviti pendakian bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram