PASUKAN Johor Motorsports Racing (JMR) menyasarkan penyertaan di Perlumbaan Ketahanan 24 Jam Le Mans sebagai langkah strategik untuk membawa bakat Malaysia menembusi litar antarabangsa.
Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim berkata, bagi mencapai matlamat itu, pasukan perlu mengambil bahagian dalam lebih banyak perlumbaan ketahanan bagi mengumpul pengalaman dan mempersiapkan diri menghadapi pesaing di peringkat global.
“Paling penting, kita perlu bergerak langkah demi langkah dan menguasai asas terlebih dahulu.
"Apabila pangkalan pasukan lebih kukuh di Malaysia, kita boleh memberi tumpuan lebih kepada pembangunan bakat tempatan,” katanya.
BACA LAGI: Dua anakanda Agong berentap perlumbaan GT3 di Belgium, sasar menang atasi 75 wakil seluruh dunia
Tunku Abdul Rahman berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas acara KFC X JMR Sembang Kereta Edisi 2025 yang berlangsung di restoran KFC Edusphere, Cyberjaya pada Rabu.
Untuk rekod, perlumbaan Le Mans ialah perlumbaan ketahanan 24 jam (24 Hours of Le Mans), salah satu perlumbaan ketahanan kereta paling berprestij dan tertua di dunia.
Ia diadakan setiap tahun di Circuit de la Sarthe, Le Mans, Perancis dan menilai bukan sahaja ketahanan kereta, malahan pemandu dan kecekapan strategi pasukan kerana mereka perlu berlumba tanpa henti selama 24 jam.

Tunku Abdul Rahman bergambar bersama mahasiswa yang hadir.
Beliau menambah, sukan permotoran bukan sahaja memberi peluang kepada generasi muda untuk mengasah bakat, malah membuka ruang pengiktirafan bakat tempatan dalam pelbagai bidang termasuk perlumbaan, kejuruteraan dan mekanik.
Malaysia ujarnya, memiliki banyak bakat yang masih belum diberi peluang untuk mencapai kemampuan sebenar mereka.
"Kepada mereka yang mempunyai impian, percayalah pada impian itu. Jika mereka terus berpegang pada kepercayaan mereka, Insya-ALLAH akan ada jalannya," ujar Tunku Abdul Rahman sambil menambah, minat terhadap dunia sukan permotoran sudah berakar umbi sejak usianya masih kecil.
Berbicara tentang pengalaman pasukan JMR sepanjang tahun ini, anakanda kelima kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah itu turut menyifatkan 2025 sebagai cabaran serta pengalaman baharu yang bermula dari kosong.
“Kami bermula dengan pasukan tempatan dan pengeluar baharu. Tahun ini adalah tahun untuk belajar sebanyak mungkin dan ia berjalan lebih baik daripada jangkaan,” kongsi Tunku Abdul Rahman.
Pelumba jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R dalam pada itu juga menyuarakan penghargaan atas sokongan berterusan KFC Malaysia yang memperkasa pembangunan belia melalui jalinan kerjasama strategik dengan JMR.
Komitmen berterusan jenama berkenaan membolehkan JMR memberi lebih tumpuan kepada pembangunan pasukan tempatan di samping membantu menaikkan industri.

Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar berkongsi pengalaman peribadi mereka sebagai pelumba JMR.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna berkata, kolaborasi antara KFC Malaysia dan JMR bertujuan membawa mesej inspirasi kepada generasi muda.
“Ia sangat istimewa bagi kami, KFC Malaysia dan jenama QSR Brands (anak syarikat Johor Corporation). Kami mahu memberi inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk mengeluarkan potensi terbaik dalam diri supaya mereka mampu mencapai kejayaan.
"JMR ialah contoh klasik untuk perkara tersebut. Dua putera muda (Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim) ini berlumba di peringkat antarabangsa, membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh berjaya jika bekerja keras,” katanya.
Beliau menambah, JMR juga merupakan contoh terbaik dalam arena sukan permotoran di Malaysia, yang mana sokongan KFC bukan sahaja menumpu pada perlumbaan, tetapi juga pembangunan masyarakat antaranya melalui kempen Sehati, yang memberi manfaat kepada 1,400 keluarga di seluruh negara.
“Kolaborasi dengan JMR adalah inisiatif yang lebih luas untuk membangunkan negara.
"Kami amat gembira kerana rakyat turut menyokong usaha ini dan kami amat menghargai momentum ini,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
