MELANGKAUI sekadar peperiksaan, pendidikan sejati terletak pada usaha menyediakan pelajar agar berdikari dan yakin menghadapi dunia.
Keyakinan itulah yang membuatkan Siti Ainulmursyida Shamsudin dipilih sebagai penerima Malaysia Teacher Prize (MTP) 2025 baru-baru ini.
Guru pendidikan khas daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orkid Desa, Kuala Lumpur itu diiktiraf atas usaha membangunkan platform digital PEKA OKU.
Inisiatif tersebut memberi manfaat kepada lebih 300 pelajar di seluruh negara melalui biasiswa, latihan dan peluang kerjaya menerusi chatbot AI.
Di bawah bimbingan Siti Ainulmursyida, pelajar-pelajarnya mewakili Malaysia di Global IT Challenge for Youth with Disabilities, seterusnya memenangi pelbagai anugerah antarabangsa termasuk pingat emas.
Kejayaannya pada MTP Summit 2025 di Selangor pada 9 November lalu menandakan penamat proses pemilihan ketat, yang menyingkirkan lima finalis daripada 2,300 permohonan daripada pendidik di seluruh negara.
Siti Ainulmursyida meluahkan kesyukuran atas peluang mewakili pelajarnya selain memperjuangkan kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak, tanpa mengira kemampuan berhak belajar, berdikari dan bermimpi.

Siti Ainulmursyida diiktiraf atas usaha membangunkan platform digital PEKA OKU. — Siti Ainulmursyida
Beliau menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan biasiswa bernilai RM70,000 untuk mengikuti program pascasiswazah di INTI International University & Colleges.
Finalis lain, iaitu Muhammad Suffi Yusof daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM, Perak, Zulazri Yusof (SMK Sultanah Asma, Kedah), Yew Ko Woo (SMK Methodist Sibu, Sarawak) dan Rosmawati Hussin (SK Cheneh Baru, Terengganu) masing-masing menerima RM5,000.
Kini memasuki tahun keempat, MTP mengiktiraf peranan guru dalam membentuk potensi negara dan dianjurkan oleh organisasi bukan keuntungan, PEMIMPIN yang memfokuskan pada pengukuhan kepimpinan sekolah di seluruh Malaysia.
Bertemakan 'A Step Together, in Shaping the Future', MTP Summit 2025 yang bermula pada 8 November menghimpunkan pendidik, pembuat dasar dan rakan strategik selama dua hari dengan sesi ucaptama, panel serta bengkel interaktif.
Lebih 800 anggota komuniti pendidikan dari seluruh Malaysia hadir, bersatu dengan komitmen untuk membayangkan semula masa depan pengajaran dan pembelajaran.
Antara penceramah utama ialah bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta pengarah urusan dan pemegang amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki bersama lebih 80 penceramah lain sepanjang dua hari tersebut.

Sepanjang bertugas, Siti Ainulmursyida membangunkan program dan platform digital yang memberi manfaat kepada pelajar kurang upaya di seluruh negara. — Siti Ainulmursyida
Berdasarkan perkongsian di blog milik Siti Ainulmursyida, guru kelahiran Serdang, Kedah itu memulakan pendidikan awal di SK Lubuk Buntar, Kedah pada 1991 hingga 1996 sebelum melanjutkan pelajaran ke SMK Lubuk Buntar pada 1997 hingga 1999.
Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Siti Ainulmursyida diterima masuk ke Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dalam bidang Sains Hayat pada 2002.
Kejayaannya berterusan apabila berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya, mengikuti jurusan Sains dengan Pendidikan, dengan pengkhususan Biologi dan minor dalam Matematik.
Siti Ainulmursyida memulakan kerjaya sebagai guru pada 2009 di SMK Cochrane Perkasa, mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik.
Selepas empat tahun berkhidmat di sekolah tersebut, beliau bertukar ke SMK Alam Damai pada 2013.
Pada 2015 pula, Siti Ainulmursyida memohon pertukaran ke aliran Pendidikan Khas dan permohonannya diluluskan pada 2016.
Keputusan itu menandakan permulaan fokusnya dalam membimbing pelajar berkeperluan khas, membuka peluang untuk beliau menerapkan kaedah pengajaran lebih inklusif dan inovatif.
Kemudian pada 2018, beliau berkhidmat sebagai guru pendidikan khas di SMK Orkid Desa sehingga kini.
Sepanjang bertugas di sekolah itu, Siti Ainulmursyida membangunkan program dan platform digital yang memberi manfaat kepada pelajar kurang upaya di seluruh negara.

Siti Ainulmursyida ketika menjadi Guru Penyampai Didik TV KPM Pendidikan Khas pada 2021. — Siti Ainulmursyida
Antara sumbangan dan pencapaian:
1) Guru Penyampai Didik TV KPM Pendidikan Khas - 2021
2) Penulis Buku Teks Matematik Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Pendidikan Khas Tingkatan 4 dan 5 - 2019 dan 2020
3) Pengalaman lebih empat tahun sebagai jurulatih KL IT Challenge For Youth With Disabilities (Peringkat Negeri), Malaysia IT Challenge For Youth With Disabilities (Peringkat Kebangsaan) dan Global IT Challenge For Youth With Disabilities (Peringkat Antarabangsa)
4) Menubuhkan Pusat Sumber Digital PPKI SMK Orkid Desa yang dilengkapi kemudahan ICT dan mendapatkan sumbangan RM10,000 dari Yayasan PETRONAS.
5) Anugerah Khas Guru PdPR Peringkat Kebangsaan Tahun 2021
6) Anugerah Ikon Guru Digital GPICT Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
