DALAM dunia yang semakin dipengaruhi teknologi dan automasi, manusia kini perlu bergerak seiring dengan perkembangan digital demi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran kerja.
Perubahan pesat dalam teknologi bukan sahaja mengubah cara hidup, malah menuntut tenaga kerja untuk memiliki set kemahiran yang lebih luas, bukan sekadar bergantung pada satu atau dua kepakaran tradisional.
Landskap kerjaya masa kini menjadikan pekerja serba boleh sebagai aset paling berharga.
BACA LAGI: Era Anna Wintour berakhir, tinggalkan Vogue selepas 37 tahun
Mereka yang mampu menguasai pelbagai kemahiran termasuk kemahiran teknikal, kreativiti, pemikiran analitikal dan keupayaan menyesuaikan diri mempunyai kelebihan jauh lebih tinggi berbanding mereka yang fokus hanya pada satu bidang.
Seperti yang pernah ditegaskan ikon fesyen yang juga Pengarah Editorial Global Vogue, Anna Wintour mengenai kepentingan sikap serba boleh dalam dunia kerjaya moden, khususnya dalam industri media yang berubah begitu pantas.
Menurut Wintour, kejayaan hari ini bukan hanya bergantung pada kepakaran tunggal, tetapi lahir daripada kesediaan untuk meneroka pelbagai minat dan kemahiran baharu.
Beliau berkata, bersikap terlalu khusus dalam satu bidang boleh membawa risiko kerana dunia kerjaya kini menuntut fleksibiliti intelektual dan kemampuan beradaptasi.
“Kejayaan datang daripada sifat serba boleh dan rasa ingin tahu. Kita perlu terbuka untuk mencuba perkara baharu walaupun berisiko gagal,” katanya menerusi perkongsian video yang dikongsikan di media sosial.

Menurut Wintour, kejayaan hari ini lahir daripada kesediaan untuk meneroka pelbagai minat dan kemahiran baharu. — Agensi
Wintour turut berkongsi pengalaman beliau dalam memerhati bakat baharu di syarikat media global terkenal berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Conde Nast yang disifatkannya sebagai individu berani, rajin, kreatif dan penuh rasa ingin tahu.
Tambah bekas ketua pengarang Vogue Amerika itu lagi, pekerja muda hari ini tidak lagi terhad pada satu peranan semata-mata.
“Di Conde Nast, setiap orang adalah penulis, jurugambar dan editor mereka sendiri.
"Memahami setiap proses asas menjadikan anda lebih baik dalam segala hal yang anda lakukan,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa kejayaan sebenar datang daripada keberanian mencuba pelbagai bidang, selain mengasah cita rasa sendiri serta tidak takut melakukan kesilapan.
“Jangan jadi terlalu khusus. Jadilah bebas dari segi intelektual dan jangan menutup fikiran terhadap peluang lain. Percayai dan asah cita rasa anda,” ungkapnya lagi.
Bagi Wintour, latihan dan bimbingan masih penting dalam membentuk kerjaya yang kukuh.
Belajar daripada mereka yang terbaik, katanya, membuka ruang untuk kreativiti berkembang.

Bagi Wintour (tiga dari kanan), latihan dan bimbingan masih penting dalam membentuk kerjaya yang kukuh. — Agensi
Pura-pura yakin
Kerjaya fesyen Wintour bermula pada 1976 sebagai pembantu fesyen di Harper’s Bazaar, namun beliau diberhentikan selepas beberapa bulan.
Pengalaman itu diterima sebagai pengajaran penting.
“Saya rasa setiap orang perlu dipecat sekurang-kurangnya sekali. Ia memaksa anda menilai diri sendiri.
"Adalah penting untuk menghadapi kegagalan kerana itulah realiti kehidupan. Kesempurnaan itu tidak wujud,” katanya.
Dalam menghadapi cabaran dan keraguan diri, Wintour turut menekankan pentingnya bersikap yakin walaupun dalam situasi tidak pasti.
Wanita berusia 75 tahun itu menegaskan, walaupun tidak pasti dengan diri sendiri, berpura-puralah yakin.
“Pura-pura yakin sehingga kerja selesai. Ia menjadikan segalanya lebih jelas untuk orang lain.
"Kebanyakan orang suka berlengah. Saya membuat keputusan dengan cepat dan saya rasa itu membantu mereka yang bekerja untuk anda,” jelasnya.
Wintour dilahirkan pada 1949 di London dalam keluarga berada yang berakar umbi dalam bangsawan British dan memiliki hubungan rapat dalam bidang kewartawanan.

Wintour menyandang jawatan sebagai ketua editor Vogue sejak 1988. — Agensi
Bapanya, Charles Wintour, merupakan editor Evening Standard, manakala ibu tirinya, Audrey Slaughter, menubuhkan penerbitan majalah seperti Petticoat, Honey dan Over 21.
Pada Jun lalu, Wintour menamatkan 35 tahun legasinya sebagai ketua editor Vogue, jawatan yang disandangnya sejak 1988 dan menandakan permulaan era baharu dalam dunia fesyen mewah.
Sepanjang tempoh itu, beliau berjaya mentakrif semula landskap fesyen, termasuk mengubah Met Gala menjadi acara paling eksklusif dan diminati setiap tahun dengan susunan tema, senarai tetamu dan detik-detik couture yang penuh teliti, sambil terus memerintah sebagai pengerusi berpengaruh.
Kini, Chloe Malle dilantik sebagai ketua editor baharu di American Vogue, namun pengaruh Wintour di Conde Nast masih tetap besar.
Kekayaan, kerjaya dan kejayaannya terus menjadi inspirasi kepada wanita yang bercita-cita tinggi.
Legasi Wintour di dunia fesyen bukan sahaja terletak pada Met Gala dan Vogue, tetapi juga pada prinsip kepimpinan, ketegasan dan keberanian untuk menghadapi kegagalan yang menjadi teladan kepada generasi baharu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
