Rai hari jadi ke-12, Nana Mahazan 'request' dukung anak kali terakhir sebelum melangkah remaja


  • Bonda
  • Khamis, 04 Dis 2025

Nana Mahazan mendukung anak lelakinya buat kali terakhir sebelum melangkah ke alam remaja.

DALAM kesibukan menjalani rutin harian, ramai ibu bapa tidak sedar bila kali terakhir mereka mendukung, memeluk atau menidurkan anak seperti waktu kecil dahulu.

Tanpa disedari, detik itu berlalu tanpa disedari, sehingga suatu hari nanti tubuh kecil yang dahulunya sering dalam dakapan kini semakin tinggi, berat dan menuju ke alam remaja.

Fasa perubahan itu dilalui usahawan dan personaliti popular, Nana Mahazan apabila berkongsi momen penuh emosi sempena ulang tahun anak lelakinya, Aaqib Raqeem Brian yang kini mencecah usia 12 tahun.

BACA LAGI: 'Bukan semua orang kita sayang milik kita', Nabila Huda pilih kebahagiaan, cinta dunia lakonan sempena ulang tahun ke-41

BACA LAGI: Sering berpindah-randah tak jejas prestasi, anak sulung Azizulhasni raih tali pinggang hitam taekwando

Menerusi hantaran di laman sosial, Nana berkongsi rasa sebak selepas anaknya bakal melangkah ke alam remaja dan bukan lagi di fasa kanak-kanak yang cukup dirinduinya.

Tambahnya, suatu ketika dahulu mereka hampir tidak pernah berenggang, malah setiap aktiviti sentiasa dilakukan bersama.

Bersempena ulang tahun kelahiran anaknya, Nana meminta izin untuk mendukung Aaqib buat kali terakhir selepas sekian lama tidak berbuat demikian.

"Nanti bila mummy dah tak ada, tengok balik and please know that I love you so much Aaqib, today is an emotional day for me.

"Aaqib is already 12, but today banyak flashback masa mummy dengan Aaqib at home dedulu memang tak boleh pisah ke mana-mana bersama.

"As you turn 12 today, i want to carry you again walau pun kejap," katanya.

 

Menurutnya, walaupun sudah bertahun-tahun tidak mendukung anak sulungnya, keinginan itu muncul kembali kerana sedar momen sebegitu mungkin tidak lagi berulang apabila Aaqib semakin membesar kelak.

Untuk rekod, Nana, atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan, mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Raqeem Brian Abdullah pada 2009.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Aaqib, 12, dan seorang lagi anak perempuan, Althea Raqeem Brian yang kini berusia 15 tahun.

Beliau antara selebriti yang kerap berkongsi perjalanan sebagai ibu, termasuk perkembangan kedua-dua anaknya sejak kecil.

Perkongsian momen dukung kali terakhir itu menyentuh hati ramai peminat dan rakan artis, yang turut mengakui bahawa anak-anak sering membesar dalam sekelip mata.

Malah, di ruangan komen ramai berkongsi pengalaman sama dan tidak sedar saat terakhir mereka mendakap si kecil hinggakan momen itu kini hanya tinggal memori. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram