PENJARA Louisiana di Angola, Amerika Syarikat (AS) menganjurkan sebuah acara penuh emosi apabila 30 banduan terpilih diberi peluang menari bersama anak perempuan masing-masing selepas lebih sedekad terpisah.
Program istimewa itu dianjurkan hasil kerjasama antara pihak penjara dan organisasi God Behind Bars, sebagai usaha pemulihan serta sokongan emosi kepada banduan.
Acara yang dinamakan Daddy–Daughter Dance itu mencipta suasana luar biasa di sebuah lokasi yang cukup sinonim dengan keganasan, hukuman dan jenayah.
Menurut laporan agensi, hanya 30 banduan dipilih selepas melalui saringan ketat termasuk rekod disiplin cemerlang serta komitmen dalam program pemulihan penjara.
Majoriti daripada mereka tidak pernah bertemu anak perempuan masing-masing selama bertahun-tahun malah ada yang lebih daripada sedekad.
Bagi memastikan perjumpaan itu bermakna, para banduan turut berlatih tarian serta persembahan ringkas Boots on the Ground sebagai kejutan buat anak-anak mereka.
Salah seorang banduan, Leslie Harris yang masih mempunyai baki sembilan tahun hukuman kerana rompakan bersenjata berkata, pertemuan dengan anak perempuannya yang berusia 17 tahun itu cukup menyentuh emosinya.
"Melihat dia dalam pakaian baharu, berlari ke arah saya sambil menangis ia membuatkan saya sedih.
"Ia membuatkan saya fikir semua saat penting dalam hidupnya yang telah saya terlepas," katanya.
Klip pertemuan itu tular di laman sosial dan membuatkan ramai warganet turut sebak serta memuji pihak penjara kerana memberikan peluang kepada banduan untuk merasai pengalaman bergelar bapa ketika dalam tahanan.
Pengasas God Behind Bars, Jake Bodine berkata, program itu memainkan peranan penting dalam pemulihan jangka panjang banduan, terutama mereka yang kehilangan hubungan keluarga akibat tempoh hukuman terlalu panjang.
"Memberi mereka peluang untuk hadir sebagai ayah, bukan banduan adalah kunci pemulihan.
"Apabila seseorang menyedari masih ada insan yang mengharapkan mereka, mereka lebih bertanggungjawab untuk berubah," katanya.
Dalam pada itu, penjara Angola digelar Alcatraz of the South terkenal dengan sejarah penuh keganasan dan akses terhad kepada program pemulihan.
Penjara terpencil itu bahkan memiliki ladang, ternakan dan tanah perkuburannya sendiri untuk banduan yang meninggal semasa menjalani hukuman.
Dalam suasana sebegitu, acara seumpama ini dianggap sesuatu yang luar biasa, memberi sinar harapan serta ruang bagi banduan memulakan langkah perubahan.
Bukan sekadar perjumpaan singkat, program Daddy–Daughter Dance juga merupakan satu momen penting yang dapat memulihkan hubungan kekeluargaan hubungan yang sering menjadi asas utama bagi seseorang banduan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
