Nama 'hilang' dari sistem bantuan, ibu tunggal di Indonesia kupas 20kg bawang sehari demi pendidikan anak


  • Bonda
  • Isnin, 01 Dis 2025

Sumarni akan mengupas bawang sepanjang hari dan pulangkan kepada pembekal pada waktu petang. — Agensi

SEORANG ibu di daerah Jombang, Jawa Timur, Indonesia sanggup bekerja sebagai pengupas bawang demi memastikan masa depan pendidikan anaknya terus terjamin.

Sumarni, 53, yang menetap di Kampung Wringinjejer, Desa Gondek, Mojowarno, menjalani kehidupan serba sederhana bersama anak perempuannya yang kini menuntut di sekolah menengah dengan ibunya yang sudah uzur.

Sejak kehilangan suami tiga tahun lalu, beliau menjadi satu-satunya pencari rezeki bagi keluarga.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Semua function kemah', ketua kampung, penduduk bergilir-gilir jaga warga emas mualaf terlantar di Jeli

BACA LAGI: Wartawan asal Pulau Pinang 'survive' jadi ibu tunggal, perkenal masakan tradisional Malaysia di bumi AS

Keluarga kecil itu tinggal di rumah berdindingkan bata merah yang belum dicat, berlantai tanah dan beratapkan jubin.

Pintu dan tingkap rumah juga hanya seadanya, tetapi bagi Sumarni, yang penting ialah keselamatan dan tempat berteduh anaknya.

“Rumah ini dibina sebelum suami saya meninggal dunia. Beginilah keadaannya,” ujarnya.

Setiap hari, Sumarni bekerja mengupas bawang merah dari rumah.

Beliau mengambil 20 kilogram (kg) bawang daripada penduduk kampung jiran, membawanya pulang untuk dikupas, kemudian dihantar kembali dengan bayaran hanya 1,800 rupiah (kira-kira 50 sen) sekilogram.

Kerja itu dilakukan tanpa gagal sejak beberapa tahun lalu. Kadang-kadang, Sumarni turut mengumpul bulu ayam untuk dijual demi menambah pendapatan.

“Saya mengupas bawang setiap hari. Bayarannya dua minggu sekali,” katanya.

Sejak kehilangan suami tiga tahun lalu, beliau menjadi satu-satunya pencari rezeki bagi keluarga. — Agensi

Basikal

Untuk mengutip dan menghantar bawang, Sumarni hanya menggunakan sama ada basikal atau berjalan kaki.

Beliau tidak memiliki motosikal dan mengakui keinginan itu terpaksa dipendam kerana segala wang lebih diperlukan untuk persekolahan anaknya.

Keperluan sekolah seperti buku latihan, elaun harian dan perbelanjaan kecil lain menjadi komitmen bulanan yang wajib dipenuhi wanita berkenaan.

“Saya mahu juga beli motor, tapi tidak mampu. Kalau ada duit pun, saya utamakan sekolah anak,” akuinya.

Keluarga Sumarni sebelum ini menerima manfaat bantuan Sembako dan Program Keluarga Harapan (PKH), namun sejak September 2025, namanya tiba-tiba hilang daripada sistem.

“Saya terima bayaran pertama dan kedua, tapi September dan November tak dapat,” ujarnya.

Setelah disemak, terdapat kemungkinan berlaku ralat pada data yang menyebabkan namanya tersilap direkod berpindah ke daerah lain.

Rutin

Setiap hari sebelum subuh, Sumarni memasak, membasuh pakaian dan menyediakan anaknya ke sekolah.

Setelah anak keluar, beliau berbasikal ke rumah pembekal bawang untuk mengambil bekalan harian.

Bawang dikupas sepanjang hari dan dipulangkan pada waktu petang. Walaupun peluang kerja lain mungkin memberi pendapatan lebih, Sumarni tidak boleh bekerja jauh kerana perlu menjaga ibunya di rumah.

Hidup serba kekurangan tidak pernah mematahkan semangatnya.

“Harapan saya, anak dapat melanjutkan pelajaran supaya jadi orang bijak,” ungkapnya.

Sumarni sentiasa menanamkan nilai berjimat cermat kepada anaknya, mengingatkan bahawa pendidikan adalah perkara paling penting.

“Kalau ada duit, kami akan utamakan keperluan sekolah dan elaunnya,” katanya.

Kisah Sumarni menjadi cerminan ketabahan ramai ibu tunggal yang berjuang dalam senyap demi masa depan anak-anak — walaupun perlu mengerah tenaga dari dapur kecil rumah berlantai tanah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram