Asyraf Wajdi 'tebuk hafazan' pelajar 10A+ SPM, komited sedia tajaan MARA lanjut pengajian juruterbang


  • Bonda
  • Rabu, 03 Dis 2025

Asyraf Wajdi menemu bual seorang pelajar yang memohon rayuan tajaan bagi melanjutkan bidang pengajian juruterbang.

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini berkongsi pertemuan dengan seorang pelajar cemerlang SPM, Muhammad Adam, yang berhasrat melanjutkan pengajian bidang juruterbang

Pertemuan itu tercetus selepas ibunya, Puan Adderina, meninggalkan komen di TikTok mengenai permohonan tajaan MARA untuk anaknya.

Menurut Asyraf, Puan Adderina dan anaknya hadir ke pejabatnya bagi menyerahkan surat rayuan tajaan selepas permohonan awal dibuat tidak berjaya.

BACA LAGI: Sering berpindah-randah tak jejas prestasi, anak sulung Azizulhasni raih tali pinggang hitam taekwando

BACA LAGI: Hamil seawal usia 5 tahun, Lina Medina miliki simptom akil baligh pramatang, kini berusia 92 tahun

Memuji pencapaian pelajar berkenaan yang memperoleh 10A+ 1A dalam Sihil Pelajaran Malaysia (SPM), Asyraf dalam masa sama turut mengagumi kebolehan Adam yang juga merupakan hafiz 30 juzuk al-Quran serta lepasan Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Jelasnya, pelajar berkenaan difahamkan turut menolak beberapa tawaran tajaan lain, termasuk daripada Petronas, kerana komited mahu mengejar cita-cita bergelar juruterbang.

 

‘Tebuk’ Surah Al-Baqarah

Dalam perbualan bersama keluarga pelajar itu, Asyraf sempat ‘menebuk hafazan’ anak muda berkenaan dengan meminta menyambung bacaan beberapa ayat daripada Surah Al-Baqarah.

"Masya-ALLAH, jelas kelancaran bacaan, adab dan kesungguhan seorang hafiz, InsyaALLAH, saya akan membawa rayuan ini ke Jawatankuasa Sektor Pendidikan MARA untuk pertimbangan sewajarnya," katanya.

 

 

Asyraf memberi jaminan bahawa rayuan tajaan untuk Adam akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Sektor Pendidikan MARA untuk pertimbangan sewajarnya.

Tegasnya, MARA komited membantu melahirkan generasi huffaz profesional daripada golongan pelajar yang seimbang dari segi akademik, akhlak dan kecemerlangan spiritual.

"MARA sentiasa menyokong usaha melahirkan anak-anak muda yang hebat dalam ilmu duniawi dan ukhrawi," katanya.

 

Doa dan harapan generasi muda

Asyraf dalam masa sama turut menyampaikan pesanan kepada Adam dan pelajar lain di luar sana supaya terus berusaha mengejar impian.

"Semoga ALLAH permudahkan urusan adik Adam dan seluruh anak muda yang sedang mengejar cita-cita mereka. Sentiasa berdoa, berusaha dan bertawakkal," ujarnya.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai di laman sosial, dengan rata-rata memuji inisiatif MARA mendekati masyarakat serta memberi inspirasi kepada pelajar yang bercita-cita tinggi dalam pelbagai bidang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram