[VIDEO] 'Semua function kemah', ketua kampung, penduduk bergilir-gilir jaga warga emas mualaf terlantar di Jeli


  • Cinta
  • Isnin, 01 Dis 2025

Hasim kini ditempatkan di pusat jagaan swasta di Kota Bharu sementara menunggu keputusan lanjut daripada pihak berwajib.

SUASANA pilu menyelubungi Kampung Berdang, Jeli, Kelantan apabila seorang warga emas dikenali sebagai Mohamad Hasim Chang, yang sudah bertahun-tahun terlantar sakit dipindahkan ke pusat jagaan swasta di Kota Bharu.

Kejadian itu dikongsikan menerusi hantaran video di Instagram milik Abbe Hae, individu yang aktif dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan.

Berdasarkan perkongsian Abbe Hae, beliau bergegas ke Kampung Berdang sebaik dimaklumkan mengenai keadaan Hasim, seorang warga emas berbangsa Cina yang memeluk Islam dan dipercayai tidak lagi mempunyai keluarga terdekat.

BACA LAGI: Ada warga emas terlantar sakit, pihak pemaju didakwa tak simpati lihat nasib penduduk Kampung Sungai Baru

BACA LAGI: Terpaksa berhenti kerja jaga orang tua, bukan sekadar tanggungjawab tetapi juga kemampuan

 

 

Menurut salah seorang penduduk, Hasim mula terlantar selepas diserang strok beberapa tahun lalu.

Ujarnya, lelaki tersebut pernah dirawat di wad sebelum dibawa pulang dan dijaga bergilir-gilir oleh penduduk kampung.

“Waktu mula-mula kena strok, dia duduk di rumah tok penghulu tiga bulan. Lepas itu kami bermesyuarat, tentukan siapa nak jaga," katanya menambah masjid turut mengupah orang untuk menjaga Hasim.

Difahamkan, Hasim yang berasal dari Pantai Remis, Perak memeluk Islam di daerah berkenaan.

Namun, individu yang membawanya memeluk Islam sudah lama tidak tinggal di kampung tersebut menyebabkan tiada rujukan keluarga dapat dicari.

Abe Hae dalam hantarannya turut memaklumkan, beliau ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jeli untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai status Hasim.

“Terima kasih atas penjelasan JKM Jeli. Disebabkan tiada kekosongan di JKM Dungun, mereka terpaksa menangguhkan penghantaran pak cik ini ke sana,” ujarnya.

Selepas hampir dua jam menunggu, ambulans dari Pasir Puteh milik Badan Amal Tengku Harith Team Ventures (THTV) tiba di lokasi untuk memindahkan Hasim.

Jelas Abe Hae, warga emas berkenaan ditempatkan terlebih dahulu di pusat jagaan swasta di Kota Bharu sementara menunggu keputusan lanjut daripada pihak berwajib.

Sebelum dibawa pergi, suasana sayu menyelubungi halaman rumah kecil yang menjadi tempat Hasim dirawat selama ini.

Penduduk kampung dan Hasim juga dilihat menangis, bersalam-salaman dan saling bermaafan.

“Saat ini suasana sangat hiba. Beberapa orang menangis sebab nak berpisah dengan Hasim yang sudah sekian lama bersama mereka,” kata Abe Hae.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Kampung Berdang, tok bilal dan seluruh qariah atas keprihatinan mereka menjaga Hasim tanpa mengira penat lelah.

"Kalian semua orang orang hebat. Terima kasih juga JKM Jeli atas bantuan bulanan yang disalurkan pada Hasim Chang sebanyak RM 600 setiap bulan," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji tindakan penduduk kampung yang sanggup menjaga kebajikan warga emas berkenaan meskipun tiada pertalian darah.

"Tok bilal, tok penghulu dan orang kampung semua function (berfungsi) kemah," tulis madee.

"Mesti dia (Hasim) orang yang baik, dikelilingi orang baik sebab bila berpisah ada yang menangis, terharu betul," kata Nowan7.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram