Dari eksperimen untuk anak buah, bekas wartawan kini Ratu Kek Ilusi HK, bakat diangkat di pentas global


  • Sukses
  • Ahad, 30 Nov 2025

Alison (gambar kiri) sanggup menempuh penerbangan 13 jam ke London untuk menyertai pertandingan pembuatan kek bertaraf antarabangsa. — Instagram/dearharley_

TIDAK pernah terlintas dalam fikirannya untuk menjadi pembuat manisan, Alison Chan mengakui dunia keknya hanya bermula sebagai hobi sampingan.

Sebelum ini, beliau bekerja sebagai wartawan berita di sebuah stesen penyiaran tempatan selama dua tahun sebelum menyertai perniagaan keluarga.

Namun, kerjaya tersebut tidak menghadirkan kepuasan buat wanita berusia 33 tahun itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Bakal berdepan ‘tsunami warga emas’, Singapura sediakan robot, sensor gerakan, gajet pintar

BACA LAGI: Amisha sasar ubah landskap Muay Thai negara, buka lebih banyak ruang untuk wanita

 

 

“Saya sedar kerja itu tidak memenuhi jiwa. Ketika itulah saya mula meneroka dunia pembuatan kek dan dekorasi.

"Menghasilkan kek kreatif sangat memberi kepuasan, ia seakan-akan melengkapkan kepingan hidup yang hilang,” katanya tidak mempunyai latar belakang seni atau reka bentuk secara formal.

Kemahirannya dalam menghasilkan kek hiper-realistik diperoleh secara kendiri melalui pembacaan, tontonan video dan eksperimen yang dilakukan tanpa henti.

Perniagaan miliknya, Dear Harley Bakery ditubuhkan pada 2018 sebagai penyedia kek untuk perkahwinan, hari lahir dan acara khas.

Pandemik Covid-19 bagaimanapun telah memperlahankan sektor sambutan dan majlis sehingga Alison terpaksa mengubah konsep jualan.

“Kami mula menghasilkan kek berkonsepkan ilusi sekitar Mei ketika pandemik melanda. Disebabkan tempahan berkurangan, kami ada masa untuk bereksperimen,” ujar Alison.

Kek ilusi pertama mereka, projek kek berbentuk pisang dihasilkan untuk ulang tahun anak saudaranya menjadi titik perubahan.

Tidak lama kemudian, Instagram beliau dibanjiri ribuan tontonan. Rekaannya termasuk kereta sukan mini, semangkuk ramen, jam tangan Rolex, bakul siu mai, botol syampu, stik salmon dan alat kawalan jauh televisyen semuanya kelihatan seperti objek sebenar.

Dear Harley Bakery ditubuhkan pada 2018 sebagai penyedia kek untuk perkahwinan, hari lahir dan acara khas. — Instagram/dearharley_

Gabungan seni

Untuk mencapai ilusi paling tepat, Alison yang mempelajari bahasa Sepanyol di Universiti Hong Kong menggunakan fondant dan cat boleh dimakan.

Kek pula diisi perisa premium seperti coklat gelap, matcha, earl grey, vanila dan strawberi.

“Keistimewaan kek realistik kami ialah orang tak pasti sama ada ia kek atau objek sebenar.

"Bahagian paling seronok ialah memperdayakan pelanggan,” ujarnya sambil tertawa.

Dikenali sebagai Ratu Kek Ilusi Hong Kong (HK), projek berkenaan turut membawa Dear Harley ke pentas lebih besar, termasuk pameran kek ilusi pertama di Asia di K11 MUSEA di Hong Kong serta jemputan mengajar bersama jenama antarabangsa seperti Le Creuset.

Alison turut mengadakan kelas membuat kek untuk kanak-kanak semasa musim cuti sekolah. — Instagram/dearharley_

Kabinet

Siapa sangka perjalanan jauh merentasi benua demi sebuah kek membawa tuah besar buat ibu kepada dua cahaya mata itu.

Ceritanya, pada awal November tahun lalu, beliau sanggup menempuh penerbangan 13 jam ke London sebelum meneruskan lagi tiga jam perjalanan menaiki kereta ke Birmingham untuk menyertai pertandingan pembuatan kek bertaraf antarabangsa.

Hasilnya, Alison pulang dengan pingat emas. Kemenangan itu diraih melalui kek hiper-realistik yang direka berinspirasikan zaman kanak-kanak anak lelakinya.

Kek tersebut dibuat berpandukan sepasang kasut kecil milik anaknya yang biasanya diletakkan di atas kabinet kasut berwarna coklat oak di rumah mereka.

"Ini adalah antara karya paling sukar dihasilkan. Proses menyiapkan kek juga memakan masa berpuluh jam.

"Pasukan saya turut menyiapkan lapan pasang kasut sebenar anak saya dan meniru corak kayu kabinet asli bagi memastikan hasil akhir benar-benar menyerupai objek sebenar," ujarnya.

Kehalusan seni dan ketelitian tersebut akhirnya membuahkan hasil, sekali gus mengangkat nama Alison di pentas antarabangsa.

Antara kek buatan Alison yang mirip objek sebenar. — Instagram/dearharley_

Bengkel global

Dear Harley kini beroperasi dengan menghasilkan kek realistik setiap bulan. Selain tempahan korporat, mereka juga menerima permintaan khas untuk majlis besar dengan harga mencecah ribuan dolar.

Sejak dua tahun lalu, Alison turut menjemput pakar bakeri dari Sepanyol, Taiwan dan Perancis untuk mengadakan bengkel demi meningkatkan kemahiran pasukan.

Beliau juga mengakui peningkatan minat masyarakat terhadap kek ilusi tempatan membantu melonjakkan popularitinya.

“Apabila ada artis kek tempatan yang boleh buat kek realistik, mereka mahu menyokong.

"Saya juga banyak mendapat perhatian selepas trend ‘cake trick’ di media sosial,” tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram