Era Anna Wintour berakhir, tinggalkan Vogue selepas 37 tahun


  • Gaya
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Keputusan itu bagi memberi peluang kepada generasi baharu yang memiliki idea segar dan pandangan berbeza tentang dunia media. — Agensi

IKON fesyen berpengaruh yang sinonim dengan kaca mata hitam dan gaya rambut bob ikonik, Anna Wintour meletakkan jawatan sebagai ketua editor Vogue edisi Amerika Syarikat (AS) selepas 37 tahun menerajui majalah tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber dalaman syarikat penerbit Vogue, Conde Nast.

Walaupun berundur dari jawatan tersebut, beliau tetap memegang dua posisi utama iaitu Ketua Pegawai Kandungan Global Conde Nast dan Pengarah Editorial Global Vogue.

Ketua editor baharu akan melapor terus kepadanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Masih tak reti pujuk walau dikelilingi 5 'puteri', momen bapa berbual mesra bersama anak buat ramai 'cemburu'

BACA LAGI: 'The lipstick effect': Barang mewah tak mampu beli, produk murah jadi ganti

Anna Wintour menerima Pingat Kebebasan Presiden daripada bekas Presiden AS, Joe Biden di Bilik Timur, Rumah Putih pada 4 Januari lalu di Washington, DC.

Dalam mesyuarat bersama kakitangan, Anna, 75, menyatakan bahawa ketika dilantik pada 1988, beliau berazam membawa pendekatan baharu dalam dunia majalah fesyen AS.

Kini, katanya, sudah tiba masa untuk memberi laluan kepada generasi baharu yang memiliki idea segar dan pandangan berbeza tentang dunia media.

Walaupun tidak lagi mengetuai edisi AS, beliau menegaskan akan terus terlibat secara aktif dalam industri fesyen, khususnya dalam penganjuran Met Gala, Vogue World dan pelbagai projek kreatif lain.

Anna memulakan kerjayanya di Harper’s & Queen pada akhir 1960-an sebelum menyertai beberapa majalah di New York.

Beliau menjadi Pengarah Kreatif Vogue pada 1983 dan kemudian mengetuai Vogue UK sebelum kembali ke AS sebagai ketua editor.

Pada tahun pertama, beliau mencetus kontroversi dengan memilih muka depan yang memaparkan model memakai jean Guess berharga 50 dolar AS (RM212) yang mana ia sesuatu yang dianggap berani bagi majalah berprofil tinggi.

Sepanjang kepimpinannya, beliau menjadikan selebriti sebagai tarikan utama muka depan Vogue, termasuk Madonna, Oprah Winfrey dan Cindy Crawford.

Anna turut menjadi inspirasi kepada watak ketua editor yang garang dalam filem The Devil Wears Prada (2006).

Namun, gaya kepimpinannya yang tegas dan sangat mementingkan kesempurnaan sering menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada sesetengah pihak.

Bekas pegawai Rumah Putih pernah mendedahkan bahawa beliau pernah bersikap dingin di majlis rasmi dan sangat cerewet dalam pengendalian media dan acara.

Pengunduran Anna berlaku ketika Conde Nast sedang mengalami rombakan besar, susulan beberapa tokoh utama termasuk ketua editor Vanity Fair turut melepaskan jawatan mereka baru-baru ini.

Kini, Anna akan memberi tumpuan lebih kepada pasaran global dan strategi kandungan pelbagai jenama utama di bawah Conde Nast. Legasinya tetap kekal sebagai tokoh yang mengubah wajah industri fesyen dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram