SEORANG wanita mendakwa dirinya dihalau keluar dari rumah di sekitar Kota Masai, Pasir Gudang, Johor bersama dua anak kecil dalam keadaan sedang sarat mengandung, dengan hanya membawa pakaian yang sempat dicapai, pada awal pagi Rabu.
Dakwa wanita itu, dia dan anak-anaknya dihalau keluar pada kira-kira pukul 1 pagi tanpa wang, barang peribadi dan kad bank selepas diminta meninggalkan segala barangan yang bukan miliknya.
“Kami secara 'rasmi' dihalau dari rumah sehelai sepinggang. Tanpa harta, tanpa harga diri kami dicampak pagi ini.
"Saya bukan scammer, dengan nama ALLAH bukan. Ini bukti semuanya betul, anak sulung saya waktu ini siap tanya kita nak naik kereta siapa pergi jalan jalan.
"Sebenarnya cuma nak naik Grab yang saya sendiri waktu ini pun tak tahu nak tuju ke mana," tulisnya dalam hantaran di akaun Threads miliknya.
Menjelaskan lebih lanjut, wanita itu berkata, sejak awal perkahwinan, suami yang memberikan akses kepada akaun bank dan kadnya, namun apabila diarahkan keluar, beliau perlu meninggalkan semua barang tersebut.
“Saya hanya bawa anak-anak dan pakaian ,” jelasnya yang kini hamil 36 minggu.
Lebih memilukan, wanita berkenaan mendakwa suaminya langsung tidak bertanya khabar mengenai keadaan anak-anak dan dirinya sejak kejadian itu berlaku.
Sebaliknya, tulis wanita itu, sepanjang hari dirinya hanya menerima makian dan hinaan tanpa henti.
"Anak anak hari ini makan daripada rezeki orang yang sudi memberi," ceritanya lagi.
Wanita itu juga memberitahu, dirinya sudah enam tahun mendirikan rumah tangga dan pernah menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) bersama suami yang bekerja di Singapura.
Bagaimanapun, suami yang sebelum ini kelihatan sempurna dan bertanggungjawab mula berubah menyebabkan wanita berkenaan nekad berpindah ke Johor Bahru untuk tinggal bersama.
"Saya yang terlalu lama memendam sesuatu, dari curang, dari itu ini, tak sampai hati nak buka aib dia.
"Namun saya sendiri pun tak sanggup dipandang negatif sebab sepanjang berkahwin, saya sendiri yang tak tahan dengan sikap dia pun, tak pernah pergi failkan cerai, tapi dia dah pernah ceraikan saya dua kali," dakwanya.
Menyedari kisahnya menjadi tular di pelbagai platform media sosial, wanita itu tampil menjelaskan, dirinya tidak berniat menagih simpati atau meminta bantuan kewangan.
"Saya tiada niat lain sebab ini pertama kali berkongsi cerita di Threads.
"Saya sendiri tak sanggup nak kongsi (kod) QR saya dan sebagainya dekat sini dari awal lagi sebab tak nak orang berfikir yang bukan-bukan terhadap saya.
"Apa-apa pun saya bersyukur dan sangat berterima kasih ke atas orang baik di belakang tabir yang sudi berkongsi rezeki buat anak-anak, tak mampu nak balas jasa kalian semua," ungkapnya.
Difahamkan, wanita itu juga berhasrat mendapatkan khidmat sewa lori yang murah bagi membawa barang-barang pantang, kelengkapan bayi dan barangan lain dari rumah berkenaan ke Rompin, Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
