IKATAN kasih sayang seorang ibu kekal utuh mengatasi perbezaan agama bahkan selepas kematian.
Hubungan tanpa syarat itu telah terakam dalam sebuah video tular di TikTok yang menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.
Sebuah keluarga beragama Hindu dilihat menziarahi pusara anak lelaki mereka yang telah memeluk Islam sebelum meninggal dunia.
Video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, @harieight, memaparkan kunjungan sebuah keluarga Hindu ke tanah perkuburan Muslim bagi menziarahi pusara Arjuna, anak lelaki yang telah pergi setahun lalu.
Walaupun keluarga tersebut mengamalkan ajaran Hindu, setiap langkah dan gerak geri mereka jelas menunjukkan rasa hormat dan kasih sayang mendalam terhadap anak yang disayangi.
Detik paling meruntun jiwa ialah apabila ibu Arjuna yang mesra dipanggil 'Amma' tunduk mencium batu nisan dan menangis tanpa suara.
Kesedihan dan kasih sayang murni itu melangkaui sempadan agama menjadi tontonan emosi menyentuh hati seluruh warga maya.
Keluarga Arjuna menunjukkan penghormatan terhadap agama baharu anak mereka sambil menabur bunga dan daun pandan ke atas kubur mengikut kebiasaan dalam adat pengebumian Muslim.
Pada masa yang sama, mereka turut meletakkan kalungan bunga simbol penghormatan dan kasih sayang dalam tradisi Hindu.
Sepanjang ziarah itu ahli keluarga membersihkan kubur dan menyiram tanah manakala ibunya dilihat menuang air perlahan-lahan ke atas batu nisan.
Dalam video lain yang dikongsi @harieight, mendedahkan bahawa ahli keluarga Arjuna bukan sahaja hadir di kubur malah turut terlibat secara aktif dalam pengurusan pengebumian Arjuna dari awal.
Mereka membantu persiapan di masjid dengan ahli keluarga lelaki membantu mengusung jenazah dan turut serta menggali kubur.
Pada masa sama, mereka juga melakukan upacara Hindu mereka sendiri sebagai penghormatan kepada Arjuna mengikut cara yang bermakna bagi mereka.
Perkongsian yang tiada berbelah bahagi itu mendapat reaksi yang sangat emosional daripada warga maya.
Ramai yang melahirkan rasa tersentuh melihat ketulusan 'Amma' di sisi pusara anaknya.
"Kasih ibu takkan pernah berakhir. Amma dan keluarga, terima kasih kerana masih menyayangi Arjuna meskipun dia memilih agama yang berbeza," tulis seorang pengguna.
Warga maya turut memuji keluarga tersebut kerana menghormati pegangan agama Islam yang dipeluk oleh Arjuna.
"Saya amat menghormati keluarga ini. Anak mereka memeluk Islam, namun mereka tetap melayaninya dengan penuh kebaikan. Dia pasti seorang anak yang baik," komen seorang lagi.
Di samping mendoakan agar roh Arjuna ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diberikan syurga, ramai juga yang menekankan betapa doa seorang ibu kekal mustajab, walau apa pun perbezaan pegangan agama.
"Doa seorang ibu tidak akan terhenti, walaupun anaknya bertukar agama," ujar seorang wanita dalam ruangan komen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
