MENCIPTA kediaman yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi berfungsi optimum dan memberikan ketenangan adalah impian setiap pemilik rumah.
Bagi pereka bentuk seni bina berkaliber yang juga graduan Harvard Graduate School of Design, Sophia Zhang, kunci kepada konsep kediaman ideal terletak pada gabungan reka bentuk dan hubungan erat dengan alam semula jadi.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, Sophia Zhang mendedahkan lima idea reka bentuk 'genius' yang perlu diterapkan di rumah sendiri.
Strategi reka bentuk itu merangkumi ruang dalaman dan luaran sekali gus mampu menjadikan sesebuah rumah kelihatan lebih luas, tersusun, selesa serta berfungsi sebagai 'syurga' peribadi.
Berikut merupakan lima idea reka bentuk daripada Sophia Zhang yang boleh dijadikan inspirasi:
1. Gimnasium 'hutan'
Sophia Zhang mengetengahkan pentingnya ruang permainan luaran yang menarik terutamanya ketika cuaca sejuk atau tidak mengizinkan.
Beliau menggelarnya sebagai gimnasium hutan di luar semasa musim sejuk di luar.
Idea itu melangkaui sekadar meletakkan peralatan mainan ringkas kerana ia mengenai mewujudkan kawasan aktif yang indah, merangsang dan berintegrasi dengan persekitaran semula jadi di halaman rumah.
Ruang itu membenarkan anak-anak menghabiskan masa di luar bagi mendapat manfaat dari udara segar dan pergerakan fizikal tanpa perlu pergi jauh atau terkurung dalam rumah.
Perkara itu menunjukkan bahawa reka bentuk rumah perlu mengambil kira keperluan dan perkembangan semua penghuni ini termasuklah si kecil.
2. Kuasa magis ruang cermin
Cermin bukan hanya untuk merapikan diri kerana menurut Sophia ia adalah alat reka bentuk yang sangat berkuasa dan serba guna.
Ruang cermin diletakkan di lokasi strategik bagi mencipta ilusi optik, menjadikan bilik kelihatan jauh lebih besar dan terang berbanding saiz sebenar.
Ini sangat penting terutamanya bagi kediaman bersaiz kecil atau terhad.
Penggunaan cermin dua hala boleh digunakan untuk menyembunyikan barang-barang lama atau ruang simpanan yang tidak menarik sekali gus mewujudkan permukaan licin dan estetik.
Beliau turut menekankan bahawa cermin adalah untuk semua orang, termasuk kanak-kanak.
Memasang cermin pada ketinggian yang membolehkan kanak-kanak melihat diri mereka sendiri dapat memupuk kesedaran diri dan rasa ingin tahu.
3. Unit kediaman tambahan
Konsep unit kediaman tambahan atau she shed adalah salah satu penambahan berharga bagi kediaman moden.
Unit itu adalah struktur berasingan, tetapi terletak dalam kawasan harta tanah yang sama berfungsi sebagai ruang serba guna untuk berhubung dengan alam semula jadi.
Ia membolehkan penghuni menghabiskan masa di luar sambil berada di dalam ruang yang cantik, selesa dan terlindung.
Ruang itu juga boleh diubah suai sebagai pejabat di rumah, studio seni, ruang meditasi, bilik tetamu atau pondok hobi.
Konsep itu menyediakan keindahan alam luar dengan keselesaan ruang dalaman sekali gus memaksimumkan penggunaan laman.
4. Penyimpanan khas
Sophia Zhang menggariskan penyimpanan sebagai komoditi yang sering kurang diberi perhatian namun penting untuk memastikan rumah kemas dan selesa.
Beliau menggalakkan penggunaan setiap sudut yang terasing seperti di rumah seperti bawah tangga, celah dinding atau kawasan tidak digunakan untuk diubah suai menjadi ruang penyimpanan.
Kuncinya adalah membina reka bentuk penyimpanan khusus yang direka khas untuk menempatkan barang-barang sebenar.
Penyimpanan efektif bukan sahaja mengelakkan kekusutan tetapi turut menjadikan ruang hidup utama lebih teratur dan luas sekali gus meningkatkan kualiti hidup penghuni.
5. Taman, ruang luar yang menciptakan diri sendiri
Idea terakhir menekankan kepentingan taman dan ruang luar yang indah mampu berevolusi dan berubah mengikut musim.
Teras idea itu adalah untuk meningkatkan ruang luar sama ada balkoni kecil atau taman bersaiz besar.
Sophia mengesyorkan penyingkiran pokok atau tumbuh-tumbuhan yang tidak menarik dan menggantikannya dengan campuran pokok yang cantik, tumbuhan hutan, taman sayur-sayuran dan taman bunga.
Tujuannya adalah untuk mewujudkan taman yang sentiasa berubah dan mempunyai daya hidup di setiap musim bagi memberikan pemandangan dan ketenangan berterusan.
Ruang luar yang dijaga rapi dan fokus kepada alam semula jadi itu berfungsi sebagai ruang hidup untuk menjadikan keseluruhan kediaman terasa lebih besar dan menenangkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
