'Nanti jadi macam kakak kerja susun patung', wanita tunggu tawaran ijazah terguris, pelanggan perlekeh kerjaya depan anak


  • Bonda
  • Isnin, 24 Nov 2025

Sikap merendah-rendahkan pekerjaan seseorang menimbulkan kemarahan ramai yang menegaskan semua kerjaya wajar dilayan dengan hormat dan empati. — Gambar hiasan/AI

LUAHAN hati dipercayai seorang pekerja di kedai barangan mainan tular baru-baru ini mengundang perdebatan hangat dalam kalangan warga maya mengenai etika dan mentaliti masyarakat terhadap pekerjaan sektor perkhidmatan.

Isi hati yang dimuat naik di Threads oleh @auchbby_ itu menceritakan pengalaman pahitnya diperlekehkan oleh seorang pelanggan wanita berstatus ibu.

Wanita itu menceritakan pengalaman ketika menyusun patung mainan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan lapan atau sembilan tahun menghampirinya dan berkata dalam bahasa Inggeris, "Kakak i want to change token."

BACA LAGI: Dulu imaginasi guna kuda kayu, boneka kain kini beralih game VR, evolusi 'toys' kanak-kanak dari era 1900 hingga 2025

BACA LAGI: Vernakular hingga 'industrial' antara konsep reka bentuk dalaman unik, bangkitkan estetika individualistik

Belum sempat pekerja itu membalas, ibu kanak-kanak tersebut segera mencelah, memberikan amaran kepada anaknya, "Adik, bercakap dalam Bahasa Malaysia, kakak itu tak faham bahasa Inggeris."

Staf terbabit hanya mampu tersenyum sopan, namun, ketika pelanggan tersebut berlalu pergi menuju mesin token, kata-kata dilontarkan sebentar tadi menghiris hatinya.

"Adik belajar rajin-rajin ya, kalau tidak nanti jadi macam kakak itu, kerja susun patung sahaja," kata ibu itu kepada anaknya.

Luahan @auchbby_ di Threads mendedahkan kesayuan hatinya, "Saya terdiam seketika. Saya sedang memohon ijazah sarjana muda sekarang, mak cik, cuma belum dapat tawaran sahaja."

Luahan itu segera mendapat perhatian ramai dengan majoriti warga maya meluahkan kekecewaan terhadap mentaliti sesetengah ibu bapa yang menggunakan kerjaya seseorang sebagai contoh menakutkan anak-anak.

Orang ramai bersepakat tingkah laku merendah-rendahkan pekerjaan individu lain adalah tindakan tidak sensitif dan boleh menjejaskan maruah seseorang.

Ini terutamanya di hadapan anak kecil yang sedang belajar nilai empati dan hormat.

Seorang pengguna, @snafiquhh, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap andaian mengenai penguasaan bahasa.

"Bahasa Inggeris yang digunakan itu mudah sahaja. Adakah dia menjangka pekerja itu tidak faham sehingga memerlukan pendidikan tinggi baru boleh memahami Bahasa Inggeris?"

Seorang pengguna berkongsi pengalaman rakan yang bekerja sambilan di restoran pizza, yang mana kata-katanya dibalas tegas oleh pengurus.

"Kakak, dia ini kerja sambilan sahaja, dia ada ijazah akaun."

Pengalaman yang dikongsi oleh orang ramai turut membuktikan pekerja perkhidmatan sering menghadapi anggapan negatif, walaupun mereka mungkin sedang menunggu peluang pekerjaan lain, bekerja secara sambilan atau sudah memiliki kelayakan akademik yang tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram