KELETIHAN melampau seorang isteri yang menguruskan anak autisme dan rumahtangga sehingga tertidur tanpa sempat menyediakan hidangan makan malam akhirnya membawa kepada pengakhiran ikatan perkahwinan.
Lebih menyayat hati, tindakan suami yang bagai dirasuk amarah telah melafazkan talak tiga akibat keletihan sang isteri itu.
Perkongsian itu telah membangkitkan polemik dan kesedaran mengenai pentingnya empati serta kefahaman dalam rumah tangga terutamanya melibatkan cabaran menguruskan anak istimewa.
BACA LAGI: Bukan sekadar pasangan, kakak ipar memahami antara rezeki dalam perkahwinan
Seorang individu di Threads menceritakan detik-detik perbicaraan di mahkamah syariah yang menyaksikan pengakuan terbuka si suami iaitu plaintif dalam kes tersebut.
Suami mengakui menceraikan isterinya dengan talak tiga di luar mahkamah hanya disebabkan tidak memasak makan malam pada hari kejadian.
Hakim: "Apa yang terjadi sampaikan awak lafaz cerai?"
Suami: "Hurmm. Isteri saya ini baik sahaja, tuan. Hari-hari masak untuk saya, buat kerja rumah apa semua. Tetapi hari itu, saya balik penat-penat, isteri tidak masak untuk saya."
Pengakuan suami bahawa insiden itu hanya berlaku sekali sepanjang perkahwinan mereka, namun menimbulkan kekecewaan mendalam pada hari kejadian.
Kemarahan suami memuncak apabila melihat si isteri tertidur di atas katil dan tidak menyahut panggilannya yang pulang penat bekerja.
Si suami turut mengesahkan bahawa keadaan rumah ketika itu bersih dan semua pakaian dicuci serta dilipat menunjukkan bahawa isterinya telah menyiapkan tugasan harian.
Situasi tegang dalam dewan mahkamah mencapai peringkat klimaks apabila hakim mula menyiasat latar belakang si isteri dan punca sebenar tiada hidangan makan malam.
Ketika ditanya, isteri, Puan Najiah, sempat mengakui dia memiliki anak autisme sambil keterangan bertulis sudah diserahkan kepada pihak mahkamah.
Hakim: "Dalam keterangan bertulis ini, Puan kata anak Puan autisme, betul ke?"
Isteri: "Ya."
Hakim: "Siapa yang uruskan anak? Plaintif!" (Hakim menahan nada marah dan memandang ke arah suami.)
Suami: "Is... isteri, tuan."
Pada ketika itu, jelas terpancar kekesalan dalam nada hakim apabila berhadapan dengan suami yang menceraikan isteri kerana ketiadaan makan malam.
Lebih menyedihkan si isteri pula memikul beban teramat besar menguruskan anak autisme secara bersendirian.
Keletihan dialami si isteri sehingga tertidur tanpa sedar kesan daripada kepenatan fizikal dan mental dalam memberikan penjagaan rapi kepada anak istimewa.
Siasatan hakim kemudian beralih kepada tahap kesedaran suami ketika melafazkan cerai.
Suami mengaku bahawa walaupun berada dalam keadaan yang sangat marah dia sedar akan lafaz diucapkannya.
Hakim: "Encik Saiful, ketika lafaz, Encik sedar atau tidak?"
Suami: "Saya marah sangat-sangat, tetapi saya sedar apa yang saya cakapkan. Sebab itu saya datang ke mahkamah hari ini."
Pengakuan itu menjadi penentu kepada keputusan mahkamah dengan pengakuan plaintif yang sedar ketika melafazkan.
Mahkamah memutuskan bahawa perceraian dengan talak tiga yang dilafazkan di luar mahkamah itu adalah sah di sisi undang-undang syariah.
Menurut syarak, talak tiga atau talak ba'in kubra memutuskan hubungan suami isteri secara mutlak.
Bekas suami tidak dibenarkan merujuk atau bernikah semula dengan bekas isteri melainkan bekas isteri tersebut telah bernikah dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dalam perkahwinan tersebut dan kemudian bercerai dengan suami baharu itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
