DI sebalik kemewahan dan gelaran 'Datuk Seri Terlajak Laris' yang sering menjadi perhatian ramai, usahawan terkenal, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, sering kali mempamerkan sisi kehidupannya yang tidak pernah lekang dari kontroversi.
Namun, baru-baru ini, tular satu perkongsian di media sosial oleh isterinya, Datin Shahida Mohd Rashid, berjaya menyentuh hati ribuan pengikut realiti di sebalik tabir seorang ahli perniagaan yang gigih.
Luahan Shahida di laman sosialnya, disertakan dengan gambar suaminya terlelap keletihan di atas sofa dikelilingi timbunan produk jualan D’Herbs.
BACA LAGI: "Nyawa perlu dibalas nyawa", ibu reda hukuman 40 tahun buat penjenayah liwat, bunuh bayinya
"Bila tidur nampak kesian, sayu sahaja, tapi bila dia bangun buka mulut, terus hilang rasa kesian."
Kapsyen ringkas itu terus menjadi tumpuan, mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Luahan Shahida bukan sekadar gurauan suami isteri biasa, tetapi pengiktirafan terhadap tahap komitmen dan kerja keras yang ditunjukkan oleh suaminya.
Meskipun sinis dengan seloroh apabila suaminya terjaga, Shahida sebenarnya memegang teguh memori perjuangan bersama.
Pasangan itu bukan dilahirkan dalam kemewahan hari ini meskipun Aliff Syukri merupakan anak kepada pengasas produk kosmetik terkenal.
Beliau mula melibatkan diri dalam dunia perniagaan seawal usia tujuh tahun dengan prinsip bahawa usaha dan kesungguhan adalah lebih penting daripada modal wang ringgit semata-mata.
Shahida sendiri adalah tonggak utama yang bersama-sama berjuang sejak awal perkahwinan mereka pada 2007.
Beliau menjadi saksi bagaimana suaminya berhempas-pulas berniaga dari rumah ke rumah dan membuka kiosk kecil di pusat beli-belah, bermodalkan wang simpanan yang dikumpul sedikit demi sedikit.
Bagi Shahida, melihat suaminya tidur keletihan sambil dikelilingi produk, jelas menunjukkan bahawa kejayaan jenama besar seperti D’Herbs menuntut pengorbanan masa dan tenaga yang luar biasa, sehingga terpaksa menjadikan produk jualan sebagai 'teman tidur'.
Namun, rasa kasihan itu mungkin hilang apabila suaminya bangun dan kembali kepada karakternya yang penuh celoteh.
Realitinya, di sebalik kritikan dan kecaman, pasangan itu adalah gambaran sebenar suami isteri yang berjuang bersama-sama.
Aliff Syukri membawa tenaga dan idea pemasaran yang agresif, manakala Shahida pula berperanan sebagai penenang, pengurus kewangan dan rakan susah senang yang sentiasa memahami 'projek' luar biasa suaminya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
