PERSONALITI dan model terkenal Hollywood, Gigi Hadid mencuri perhatian peminat apabila muncul dalam episod terbaharu program televisyen popular Celebrity Substitute baru-baru ini.
Istimewanya episod kali ini, beliau berperanan sebagai guru ganti untuk sekumpulan murid tadika di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS).
Kehadiran model berusia 30 tahun itu bukan sahaja menyerikan suasana, malah mencetuskan suasana menghiburkan apabila Gigi berkongsi tip catwalk dan bergambar depan lensa kamera pada kanak-kanak terbabit.
Sebelum memulakan kelas, beliau sempat meluangkan masa menjawab soalan-soalan lucu daripada kumpulan kanak-kanak tadika tersebut.
Salah satu momen tular di laman sosial ialah bila mana seorang kanak-kanak bertanya, "Bagaimana kamu menjadi begitu cantik?" pada Gigi.
Tenang menjawab persoalan itu, jawapan diberikan meraih pujian dan memberi inspirasi kepada individu yang menonton klip video tersebut.
"Sama seperti anda menjadi cantik, kita semua dilahirkan dan menjadi diri sendiri," ujarnya.
Dibanjiri pujian warganet, interaksi spontan antara Gigi dan seorang murid bernama Jahir turut mencuri tumpuan ramai yang kagum akan keakraban serta kemesraan terjalin dalam program berkenaan.
Situasi bermula ketika kanak-kanak itu meminta Gigi berdiri untuk melihat ketinggiannya, lalu model tersebut menjawab "Saya mungkin sekitar 5 kaki 10 inci, bayangkan kalau saya memakai kasut tumit tinggi," ujarnya berseloroh.
Dalam satu babak lain, Jahir yang muncul dalam klip berasingan berkata, "Cik Gigi terlalu tinggi untuk tidak menjadi guru tadika."
Dalam masa sama, dia turut bergurau bahawa akan terkejut jika guru ganti mereka adalah LeBron James kerana dia merupakan pemain bola keranjang yang terkenal," katanya.
Kemunculan ringkas Gigi Hadid bukan sahaja mencetuskan gelak tawa dan detik riang, tetapi turut menonjolkan sisi keibuan dan sifat mesra yang jarang dipamerkan di pentas peragaan.
Ia sekali gus menjadikan episod tersebut antara yang paling hangat diperkatakan oleh peminatnya di media sosial seantero dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
