KELENGKAPAN fasiliti dan kewangan sering kali dijadikan halangan dalam mana-mana penglibatan serius individu dalam bidang sukan.
Tidak dinafikan, kedua-dua perkara itu sememangnya menjadi nadi utama dalam perjalanan karier seseorang yang mahu mula berjinak dalam karier tersebut khususnya golongan remaja.
Namun, tiga remaja bersaudara dari Medan, Indonesia ini membuktikan bahawa usia muda dan kekurangan kemudahan bukan alasan untuk berhenti mengejar impian.
Tatkala rakan sebaya menghabiskan masa dengan gajet dan permainan digital, Ardhan, Rehan dan Adit memilih jalan berbeza untuk terus mengejar cita-cita bergelar juara tinju dunia.
Fenomena viral itu tercetus menerusi perkongsian video di laman Instagram @workout_kidz, yang memaparkan ketiga-tiga sepupu tersebut menjalani latihan intensif menggunakan barang terpakai bagi menggantikan fasiliti gimnasium.
Bukan sekadar mimpi di siang hari, ketiga-tiga remaja berkenaan kini sedang melaksanakan misi latihan 150 hari yang dirangka sendiri dengan disiplin ketat.
Menurut perkongsian keluarga, latihan mereka turut dipantau oleh bapa saudara yang juga jurulatih mereka, Khairul Amri bagi memastikan setiap teknik asas tinju dilakukan dengan selamat serta konsisten.
Peralatan terhad
Video mereka memaparkan kreativiti luar biasa apabila menggunakan botol plastik berisi pasir yang dijadikan dumbbell, tong cat (barbel), dan kerusi plastik (bench press).
Walaupun serba kekurangan, komitmen mereka terserlah melalui jadual latihan yang berbeza setiap hari, merangkumi senaman stamina, pukulan asas, footwork dan kekuatan otot.
Perkongsian itu kemudiannya mengundang perhatian ramai ekoran ketekunan ditampilkan jelas melangkaui kemampuan usia mereka.
Dalam pada itu, Ardhan, Rehan dan Adit dilaporkan memiliki impian besar untuk menjadi atlet tinju bertaraf dunia.
Walaupun masih muda, mereka menunjukkan disiplin setara atlet remaja profesional hadir dengan latihan awal pagi, merekod kemajuan harian dan memenuhi sasaran cabaran 150 hari seperti ditetapkan.
Sejak tular di laman sosial, video mereka menerima ribuan tontonan dan komen positif daripada pelbagai lapisan masyarakat yang cukup mengagumi kreativiti mereka dalam menjadikan ruang rumah sebagai ‘gim mini’.
Perkara itu sekali gus membuka perbincangan lebih meluas tentang potensi bakat sukan di kawasan luar bandar yang sering berdepan kekurangan fasiliti dan dibelenggu masalah kewangan yang kritikal.
Tidak sekadar konten hiburan semata-mata, tetapi ia juga menjadi inspirasi bahawa sebuah impian juga mampu dikecapi berbekalkan semangat juang yang tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
