'Macam tetamu kehormat', guru baharu disambut meriah pelajar di jeti pedalaman Sarawak


  • Bonda
  • Sabtu, 22 Nov 2025

Kedatangan seorang guru dari semenanjung disambut meriah dan penuh teruja oleh pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Ng Telawan.

TUGAS mengajar di kawasan pedalaman bukanlah sesuatu tanggungjawab mudah dan boleh dipikul sembarangan guru. 

Jarak perjalanan yang jauh, kemudahan terhad serta suasana hidup yang berbeza daripada bandar menyebabkan tidak ramai guru sanggup atau memilih untuk berkhidmat di lokasi sebegini. 

Namun, bagi komuniti masyarakat di Sarawak khususnya, kehadiran seorang guru baharu sentiasa membawa harapan besar terhadap masa depan kanak-kanak di sana.

BACA LAGI: [VIDEO] Terharu remaja tumpang belajar, pemilik dobi pasang niat tambah kemudahan kerusi lebih selesa

BACA LAGI: Tak perlu gim mewah, 3 remaja berlatih tinju guna barang 'recycle' pasang impian bergelar juara dunia

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan detik manis sekumpulan pelajar di pedalaman Sarawak menyambut kehadiran guru baharu di sebuah jeti kecil. 

Situasi yang difahamkan berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Ng Telawan itu menyentuh hati ramai apabila guru berkenaan yang datang dari Semenanjung disambut dengan penuh mesra oleh para pelajar. 

Menerusi video dimuat naik akaun @tokngulukherol, guru berkenaan tiba dengan menaiki pengangkutan bot, difahamkan satu-satunya akses utama ke sekolah tersebut.

Bagaikan tetamu kehormat, kedatangannya disambut dengan sapaan mesra dan senyuman dari pelajar serta beberapa tenaga pengajar yang nyata mengalu-alukan perkhidmatannya di sekolah terbabit.  

Di ruangan komen, ramai warganet meluahkan rasa bangga, terharu dan kagum terhadap semangat guru wanita itu yang sanggup menggalas amanah jauh dari keselesaan bandar. 

Malah, tidak kurang juga individu yang tampil berkongsi pengalaman bersekolah atau berkhidmat di kawasan pedalaman yang disifatkan satu momen berharga tidak dapat dijual beli.

"Yang tolak tawaran tu generasi yang suka overthinking, benda belum jadi belum lalui tapi dah fikir bukan-bukan, lalui dulu lah cikgu, ramai anak didik yang dahagakan ilmu, kesusahan, kepayahan anggap saja ladang pahala," kata kentang.

"Di sini aku belajar bahasa orang Ulu, di sini aku belajar mengayuh perahu, di sini aku belajar serba-serbi, pengalaman yang tidak dapat dijual beli, dulu serba-serbi kekurangan namun kami jalani dan nikmati bahagia kami di sini dengan cara tersendiri," ujar Normimi6.

"Momen yang sangat istimewa, selamat berkhidmat dan menjalankan tugas adik-adik semua. Semoga dipermudahkan urusan dalam menyebarkan manfaat di Bumi Kenyalang dan di mana jua ditempatkan," tambah umieadamsofiyah.

Perkongsian itu secara tidak langsung menonjolkan realiti dunia pendidikan di pedalaman penuh cabaran namun sarat dengan nilai kemanusiaan. 

Ia juga mengingatkan bahawa di sebalik segala kekangan, minat dan dedikasi seorang guru mampu membawa perubahan besar kepada masa depan anak-anak di kawasan terpencil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram