[VIDEO] Terharu remaja tumpang belajar, pemilik dobi pasang niat tambah kemudahan kerusi lebih selesa


  • Maya
  • Khamis, 20 Nov 2025

Sekumpulan remaja lelaki dipercayai calon SPM gigih mengulang kaji pelajaran di sebuah premis dobi layan diri.

DI kawasan bandar mahupun luar bandar, ruang awam sering menjadi lokasi alternatif bagi remaja mencari tempat tenang untuk menyiapkan kerja sekolah atau mengulang kaji pelajaran.

Ada kalanya, keselesaan bukan keutamaan kerana paling penting adalah suasana kondusif serta sebuah lokasi yang ideal untuk sesi ruang pembelajaran diadakan selain daripada perpustakaan.

Hal itu boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang pemilik dobi layan diri ini yang tidak menyangka premisnya menjadi ruang belajar buat sekumpulan remaja.

BACA LAGI: 'Tak sangka imamkan jenazah anak sendiri', bapa pilu kenang momen akhir anak maut kemalangan ketika pra-konvokesyen

BACA LAGI: Tak perlu gim mewah, 3 remaja berlatih tinju guna barang 'recycle' pasang impian bergelar juara dunia

Pemilik akaun @intanmariaahmad di laman Threads berkongsi pengalaman sewaktu memeriksa rakaman litar kamera tertutup (CCTV) di premis dobinya.

Menerusi video tersebut, beberapa remaja dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat tekun mengulang kaji pelajaran sambil menggunakan fasiliti meja, kerusi dan kipas premis berkenaan.

 

 

Melihatkan situasi tersebut, beliau meluahkan rasa terharu kerana dobi yang diusahakan bukan sahaja memberi manfaat sebagai kemudahan mencuci pakaian, tetapi juga menjadi ruang belajar bagi penduduk sekitar.

Akui tersentuh dengan kegigihan dipamerkan, pemilik dobi itu berasa terdorong untuk membantu dan menyatakan hasrat membeli beberapa kerusi yang lebih selesa sebagai inisiatif kecil membantu usaha pelajar-pelajar berkenaan.

"Bila bukak CCTV dobi, tengok ada anak-anak tumpang belajar di dobi buat rasa nak belikan kerusi yang selesa untuk mereka belajar.

"Terasa sangat berguna dobi ni untuk mereka, rasanya bebudak SPM sebab Selasa minggu depan dah mula kertas peperiksaan," katanya.

Pemilik dobi itu dalam masa sama turut mendoakan agar usahanya membawa kebaikan kepada masyarakat setempat dan berharap remaja yang menumpang belajar di situ berjaya dalam peperiksaan diduduki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram