Ibu tunggal usia 74 tahun miliki 11 jenis lesen memandu, pandu pelbagai kenderaan mewah dan kren demi sara keluarga


  • Bonda
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Mani Amma memiliki 11 lesen pelbagai jenis kenderaan yang membolehkannya memandu kenderaan termasuk kren dan jentera berat.

 

ALAM pekerjaan lazimnya didominasi oleh golongan lelaki namun, kisah wanita warga emas asal Kerala, India ini yang mampu mengendalikan bas, kren dan jengkaut telah mengubah persepsi tersebut.

Kecekalan Mani Amma, 74, yang bekerja sebagai pemandu pelbagai jenis kenderaan berat demi menyara keluarganya membuktikan bahawa kemampuan wanita tidak harus dipandang sebelah mata.

Setiap pagi, tumpuan penduduk di kawasan sekitar terarah kepada sosok wanita berkenaan yang difahamkan memandu bas ataupun kren sebagai pekerjaan hakikinya.

BACA LAGI: Panggil staf 'meeting' pukul 3 pagi, Perdana Menteri Jepun dedah tidur 2 hingga 4 jam sehari

BACA LAGI: [VIDEO] Terharu remaja tumpang belajar, pemilik dobi pasang niat tambah kemudahan kerusi lebih selesa

Dengan tangan stabil dan pandangan fokus, Mani Amma memandu tanpa rasa takut, sekali gus memecahkan stereotaip bahawa hanya lelaki layak di belakang stereng kenderaan berat.

Mani Amma bekerja sebagai pemandu pelbagai jenis kenderaan bagi menyara kluarganya. — Agensi

 

 

Keluarga sederhana

Dibesarkan di sebuah kampung kecil dalam keluarga sederhana, Mani Amma berkahwin ketika masih di bangku persekolahan menengah.

Sejak awal perkahwinan, dia menanggung pelbagai tanggungjawab keluarga, namun tetap tekad untuk membina masa depan lebih baik biarpun kehilangan suaminya beberapa tahun lalu.

Kerjaya sebagai pemandu bermula bukan kerana minat, tetapi lebih kepada keperluan untuk menyara kehidupan yang kemudiannya berubah menjadi satu pekerjaan yang mustahil golongan wanita.

Mani Amma mengakui pernah risau hilang kawalan atau mencederakan orang lain, namun berkat sokongan mendiang suaminya dan latihan berterusan, keyakinannya meningkat sedikit demi sedikit.

Dedikasi itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya memiliki 11 jenis lesen memandu kenderaan berat, sesuatu yang hanya dicapai segelintir individu di serata dunia.

Keunikan pencapaiannya membolehkan namanya tercatat dalam Buku Rekod India dan pada 2022, dia menerima anugerah Personaliti Inspirasi menerusi pencalonan Anugerah Yellow Dot.

 

 

 

Sekolah memandu

Kini pada usia 74 tahun, Mani Amma masih memandu bas, kren dan jengkaut dengan penuh dedikasi sebagai kariernya.

Malah, wanita berkenaan telah menubuhkan sebuah sekolah memandu iaitu Institut Memandu A2Z untuk melatih lebih ramai pemandu, khususnya wanita yang berhajat membina karier di jalan raya.

Kisah kehidupannya menjadi inspirasi bahawa usia bukan penghalang dan ketakutan bukan alasan untuk berhenti mencuba.

Setiap kenderaan yang dikendalikannya menjadi simbol keberanian serta bukti bahawa seorang wanita juga boleh memimpin jalannya sendiri tanpa mengira cabaran dihadapi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram