Panggil staf 'meeting' pukul 3 pagi, Perdana Menteri Jepun dedah tidur 2 hingga 4 jam sehari


  • Maya
  • Khamis, 20 Nov 2025

Sanae Takaichi mendedahkan dirinya hanya tidur sekitar dua hingga empat jam sahaja setiap hari.

BUDAYA kerja berlebihan bukan perkara baharu di Jepun kerana negara itu sudah lama berdepan rekod tersebut sehingga menimbulkan fenomena 'karoshi', kematian akibat kerja berlebihan.

Namun, apabila pemimpin tertinggi sendiri mengakui tidur hanya dua hingga empat jam sehari, kebimbangan terhadap keseimbangan antara kerja dan kehidupan kembali memuncak di kalangan rakyatnya.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mendedahkan bahawa waktu tidurnya hanya sekitar dua hingga empat jam setiap hari.

BACA LAGI: 'Tak sangka imamkan jenazah anak sendiri', bapa pilu kenang momen akhir anak maut kemalangan ketika pra-konvokesyen

BACA LAGI: [VIDEO] Terharu remaja tumpang belajar, pemilik dobi pasang niat tambah kemudahan kerusi lebih selesa

Pendedahan itu dibuat selepas beliau dikritik minggu lalu kerana memanggil pembantunya ke pejabat pukul 3 pagi bagi menyediakan sesi pendengaran jawatankuasa bajet yang dijadualkan berlangsung enam jam kemudian.

Kritikan itu timbul hanya beberapa minggu selepas beliau meraikan sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun dengan slogan kerja 'bekerja, bekerja, bekerja, bekerja dan bekerja'.

"Saya tidur kira-kira dua jam sekarang, empat jam paling lama itu pun mungkin tidak baik untuk kulit saya," katanya.

 

 

 

Budaya kerja tanpa rehat

Jepun sejak sekian lama berusaha mengubah budaya korporat yang menuntut stafnya bekerja melebihi waktu normal, termasuk menghadiri aktiviti sosial bersama rakan sekerja pada waktu malam.

Tekanan kerja melampau itu turut dikaitkan dengan kadar kelahiran negara berkenaan yang rendah serta keletihan melampau dalam kalangan pasangan muda.

Rentetan itu, Takaichi kini dibimbangi akan memperkukuh budaya kerja ekstrem apabila pentadbirannya sedang mempertimbangkan cadangan menaikkan had kerja lebih masa demi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa sebarang perubahan polisi akan tetap mengutamakan kesihatan pekerja.

"Jika kita dapat mencipta situasi di mana orang ramai boleh mengimbangi tanggungjawab kerja, penjagaan anak, masa lapang dan rehat, itu adalah keputusan sangat ideal," katanya.

Tekanan dan jadual kerja Takaichi dalam masa sama turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakan politiknya.

Bekas menteri ekonomi, Ken Saito mengakui sangat bimbang terhadap tahap kesihatan perdana menteri itu, manakala ahli parlimen pembangkang, Katsuhito Nakajima turut menggesa beliau menambah waktu tidur hariannya.

Jadual minggu pertamanya sebagai perdana menteri juga cukup padat termasuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia, menjadi tuan rumah kepada Donald Trump dan bertemu Presiden China Xi Jinping semasa Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan.

 

Kurang tidur risiko diabetes

Menurut kajian Perpustakaan Perubatan Negara Amerika Syarikat, tempoh tidur antara tujuh jam atau lebih sangat diperlukan untuk kesihatan di tahap optimum.

Tidur kurang daripada enam jam secara konsisten boleh mengganggu metabolisme, meningkatkan rasa lapar dan mengubah fungsi hormon.

Bahkan, tidur hanya lima hingga enam jam sehari didapati boleh menggandakan risiko diabetes serta menyumbang kepada peningkatan berat badan dengan individu berusia 27 tahun ke atas dikaitkan dengan indeks jisim badan (BMI) yang lebih tinggi.

Walaupun budaya itu menjadi kelaziman di Jepun, pengakuan Takaichi mencetuskan perdebatan baharu mengenai kesihatan pemimpin dan masa depan negara tesebut yang kini sedang di peralihan fasa keseimbangan hidup yang lebih sihat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram