'Tak sangka imamkan jenazah anak sendiri', bapa pilu kenang momen akhir anak maut kemalangan ketika pra-konvokesyen


  • Bonda
  • Rabu, 19 Nov 2025

Wan Nasrul Hakim (kanan) berkongsi momen swafoto terakhir bersama anaknya yang terpalit insiden kemalangan baru-baru ini.

SEORANG bapa berkongsi detik paling perit dalam hidupnya apabila terpaksa mengimamkan solat jenazah anak perempuannya yang dilaporkan maut kemalangan ketika dalam perjalanan ke sesi fotografi pra-konvokesyen.

Mangsa, Wan Adlin Nadhilah atau mesra dipanggil Alin, sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 24 November 2025. 

Namun, impian itu tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam kemalangan pada 15 November lalu.

BACA LAGI: 'Bukan semua pandai jaga anak autisme', Shila Amzah jelaskan sebab tak benarkan orang luar bawa Seth keluar

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya minta nak pegang pipi', wanita sebak dapat lepas rindu peluk, cium 'aunty' mirip arwah ibu

Dalam perkongsian penuh emosi, bapanya, Wan Nasrul Hakim menceritakan kenangan terakhir bersama anaknya sebelum tragedi berlaku.

Menurutnya, mereka sempat berswafoto pada 13 November ketika pulang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas mengambil jubah konvokesyen Alin. 

Pun begitu, siapa sangka momen itu menjadi detik akhir yang akan dikenangi selamanya selepas anaknya dilaporkan maut dalam insiden terbabit.

Pada hari kejadian, Wan Nasrul berada di Balok, Kuantan bersama isteri dan anak keempatnya, Yusuf untuk menguruskan rumah mereka manakala Alin bersama adik-beradik dan sepupunya sedang dalam perjalanan ke sesi pra-konvokesyen.

Namun, sekitar pukul 5.54 petang, beliau menerima panggilan daripada adiknya yang memaklumkan kereta dinaiki Alin bersama beberapa ahli keluarga lain telah terlibat dalam kemalangan.

"Adik lelaki saya beritahu Alin telah meninggalkan kami, dia kata rupanya elok macam tak cedera, Alin pergi dalam keadaan baik.

“Saya baru tahu saya sebenarnya lemah, saya tak kuat macam orang lain, saya tak mampu tampung dugaan itu," luahnya di laman Facebook.

Menurut laporan doktor, tiada kesan kecederaan luaran pada Alin namun hentakan kuat pada bahagian kepala menyebabkan kecederaan dalaman sehingga meragut nyawanya serta-merta.

Pada pagi Ahad, 16 November, jenazah selesai dimandikan dan dengan penuh sebak, beliau sendiri mengimamkan solat jenazah anaknya.

"Saya tak pernah menjadi imam solat jenazah sebelum ini, tak pernah saya sangka saya akan imamkan solat untuk anak saya sendiri.

"Jika dia ada berhutang, PM saya. Saya akan selesaikan," tambahnya.

Tragedi menimpa mangsa bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya, malah turut membuka mata ramai pihak tentang betapa rapuhnya sebuah perjalanan hidup. 

Bagi Wan Nasrul, tiada kata yang dapat menggambarkan rindu seorang ayah terhadap anak kesayangannya kecuali harapan agar Alin ditempatkan dalam kalangan orang beriman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram