SETIAP pasangan pengantin mempunyai cara tersendiri untuk meraikan hari bahagia mereka.
Tidak dinafikan, majlis perkahwinan Melayu cukup meriah dengan adat resam dan budaya yang sentiasa disambut baik pelbagai lapisan masyarakat.
Namun, segelintir pasangan khususnya generasi muda hari ini memilih pendekatan berbeza yang lebih santai dan ringkas tanpa peruntukan bajet tinggi untuk sesebuah majlis perkahwinan.
Pendekatan itu dipraktikkan oleh pasangan pengantin baharu, Faiiz dan isterinya yang tampil berkongsi suasana majlis diadakan yang cukup sederhana tetapi penuh kenangan manis.
Berbeza dengan kelaziman pasangan pengantin lain, @faiizmdnoor dan isterinya memilih untuk menggunakan hanya satu dulang hantaran tanpa perlu membalas seperti tradisi kebanyakan majlis Melayu.
"Tak kabut nak balas-balas dulang, kitorang kahwin satu je dulang hantaran, buat sendiri sama-sama.
"Sehari sebelum decide buat dulang, hias sama-sama dengan kawan dan kenalan rapat, semua buat sendiri je," katanya di laman Threads.
Lebih menarik, pasangan dua sejoli itu memilih untuk bernikah dan bersanding pada hari sama tanpa sesi pertukaran pakaian yang biasanya memakan masa serta tenaga.
Hal itu membolehkan mereka menguruskan majlis dengan lebih ringkas namun tetap berlangsung meriah dengan aturcara disediakan.
Menjadikan konsep 'breakfast wedding' sebagai tema perkahwinan, para tetamu dijemput hadir pada waktu pagi dengan pelbagai hidangan juadah menarik tersedia.
Majlis turut dimeriahi dengan alunan lagu nukilan khas pengantin lelaki buat isteri tercinta yang disampaikan secara langsung oleh live band pada hari istimewa tersebut.
Mereka membuktikan bahawa majlis perkahwinan yang ringkas, kreatif dan bermakna mampu meninggalkan kesan yang mendalam tanpa perlu mengikuti trend mewah atau adat yang kompleks.
Pendekatan digunakan secara tidak langsung memberi inspirasi kepada pasangan lain bahawa hari bahagia tidak semestinya diukur dengan kemewahan, tetapi ia berpandukan keikhlasan serta kreativiti yang dikongsi bersama insan tersayang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
