BARU berusia 4 tahun, bakat dan pencapaian seorang kanak-kanak perempuan dari Madiun, Jawa Timur Indonesia berjaya mengagumkan orang ramai.
Baru-baru ini, kehebatan pelukis cilik, Parashayu Gangga atau dikenali sebagai Gangga itu dipamerkan dalam sebuah pameran solo menampilkan 100 karya abstraknya unik dan kreatif.
Karya-karyanya bukan sahaja menunjukkan kematangannya, malah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mengekspresikan kreativiti secara intensif.
BACA LAGI: ‘Isteri, berhiaslah untuk suami!’, melaram sakan jika di luar, tetapi di rumah baju pun tak bertukar
BACA LAGI: Pasangan Asia-Eropah tergamam, hospital Brazil rujuk bayi ikut warna kulit, bukan nama

Kreativiti Gangga dalam menghasilkan setiap karya lukisannya mencuri perhatian ramai. — Agensi
Meskipun masih kecil, Gangga sudah menghasilkan ratusan lukisan dengan bakat yang mula diasah sejak seawal usia setahun.
Karya sulungnya berjudul Keluarga Saya itu menerima pujian ramai pada Festival Seni Kanak-Kanak di Yogyakarta, Indonesia.
Ibunya, Anis Marhayu berkata, bakat dan kemahiran seni Gangga yang diasah sejak kecil itu bermula dari rumah.
"Kebetulan saya juga seorang artis (pelukis), jadi dia sering ikut saya ke studio.
"Gangga mula minat melukis selepas kerap melihat saya bekerja di studio. Di situlah timbul rasa ingin tahu dan keinginan untuk mencubanya.
"Pada mulanya, dia sering bertanya, 'Apa ini, apa itu?'. Akhirnya, saya biarkan sahaja dia memegang berus dan melukis di atas kanvas," katanya.
Menurutnya, melukis sudah menjadi aktiviti harian setiap pagi Gangga sejak detik itu.
Demi mengembangkan lagi bakatnya, Anis mengambil langkah mendaftarkan anak gadisnya di sebuah studio lukisan di Kota Madiun, Jawa Timur.

Lebih 100 karya abstrak Gangga dipamerkan kepada masyarakat. — Agensi
"Sejak menyertai kelas, dia semakin bersemangat.
"Sebab itu saya ingin menunjukkan penghargaan dengan mengadakan pameran ini," jelasnya.
Pameran itu turut menampilkan karya Gangga termasuk lukisan besar berukuran 160x300 sentimeter (cm) yang mengambil masa sebulan untuk disiapkan.
Gaya lukisan Gangga didominasi oleh abstraksi, dengan watak tersendiri dalam bentuk raksasa imaginasi dan contengan ekspresif seperti kanak-kanak.
"Dia lebih suka meluahkan perasaannya secara bebas dan apabila mewarna, ia bergantung pada emosinya.
"Kadang-kadang dia boleh menyiapkan dua atau tiga lukisan dalam satu hari," ujarnya.
Anis pada masa sama berharap agar pameran tersebut menjadi platform bermanfaat serta sumber inspirasi kepada kanak-kanak lain yang mempunyai minat sama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
