'DRACIN' atau drama China zaman sekarang lebih banyak diakses di platform media sosial seperti TikTok, Instagram Reels mahupun Facebook Reels dengan video itu akan dibuat dalam saiz vertikal atau menegak.
Drama dalam bentuk menegak atau 'vertikal' masih hijau dalam industri seni tanah air, namun pendekatan itu bukan baru untuk syarikat agensi bakat di Kuala Lumpur iaitu MantaYaY Talent Agency.
MantaYaY bukan sekadar agensi bakat, organisasi berkenaan merupakan perintis drama pendek menegak tanah air apabila kini mereka telah menghasilkan 10 drama untuk disiarkan di platform TikTok.
BACA LAGI: Perkasakan perniagaan wanita, 3 skim pembiayaan sedia membantu usahawan
Berkongsi mengenai keberanian mereka membawa format tersebut ke Malaysia, Rakan Kongsi merangkap Pengarah MantaYaY, Joel Lim Min Sheu, 33, berkata, mereka yakin sejak awal bahawa drama menegak mampu memenuhi cita rasa penonton tempatan.
"Kami sebenarnya sudah yakin sejak drama pertama lagi kerana kami tahu kami yang pertama di Malaysia melakukan perkara ini, menghasilkan kandungan yang dilokalkan dan menggunakan pelakon tempatan. Segala-galanya kami buat secara lokal.
"Tiada syarikat lain yang melakukannya secara lokal pada tahun 2023. Jadi, kamilah yang pertama memulakannya dan pada waktu itu kami sudah benar-benar yakin bahawa ia akan meledak. Setakat ini, terbukti keyakinan kami itu tepat," katanya kepada Majoriti.
Menurut Joel, sehingga kini syarikat itu telah menghasilkan 10 drama menegak dengan IP (intellectual property) paling berjaya ialah siri 'Terpaling Menantu', yang kini memasuki musim ketiga.
"Most successful drama kita memang Terpaling Menantu. Dari musim pertama lagi Grab jadi main sponsor. Sampai sekarang, pelakon utama pergi mana pun orang masih panggil nama watak dia. Grab driver pun boleh kenal dia kalau jumpa di luar," katanya.
Fenomena 'Terpaling Menantu' turut melonjak ke tahap luar biasa apabila siri itu mencatat lebih 300 juta tontonan merentas platform, sekali gus membuktikan potensi komersial drama menegak dalam pasaran Melayu.
Joel berkata, kejayaan itu menjadi bukti trend drama menegak bukan sekadar gelombang sementara, sebaliknya bakal kekal relevan untuk beberapa tahun mendatang.
"Kita sangat yakin bahawa drama pendek menegak akan terus in trend. Kami bersyukur kerana berada di barisan hadapan industri ini," jelas pemuda dari Pulau Pinang itu.
Joel (dua dari kiri) bersama pengurusan MantaYaY lain.
Selain produksi drama, MantaYaY juga merupakan agensi terbesar di Malaysia dalam pengurusan penstrim langsung TikTok dengan lebih 5,000 streamer di bawah jenama mereka, selain 13 bakat eksklusif termasuk kumpulan tarian wanita iaitu Syne.
Joel berkata, strategi syarikat adalah membangunkan bakat dari akar umbi atau dalam erti kata lain tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai sehinggalah mampu memasuki pasaran antarabangsa.
"Untuk yakinkan mereka sertai kami, sudah tentu kami perlu benar-benar ikhlas bahawa kami mampu bekerjasama dengan mereka, membantu menjana pendapatan dan membantu mereka berkembang menjadi lebih besar.
"Jika mereka sudah pun mempunyai nama, kami bantu mereka berkembang lebih jauh lagi. Sebab itu anda dapat lihat pencipta kandungan kami seperti Angelloweee yang memenangi Transformation of the Year Award," jelasnya.
Antara pencapaian utama Angelloweee adalah dia menjadi wanita Malaysia pertama memiliki ‘in-game skin’ apabila penghargaan itu diberikan dalam permainan atas talian, Honor of Kings (HoK).

Angelloweee memiliki seramai 10.6 juta pengikut di TikTok.
Pencapaian sedemikian amat sukar untuk dikecapi kerana hanya ikon dunia permainan seperti Muhammad Faris Zakaria (Soloz) yang diberikan status sedemikian dalam francais permainan sama.
Sementara itu, pencipta kandungan Syafiq Aiman telah dihantar ke China, Jepun dan bakal mewakili Malaysia ke Filipina bagi projek antarabangsa bersama klien global.
Memasuki tahun keempat operasi, MantaYaY mencatat perkembangan signifikan apabila berkembang daripada lima pekerja kepada lebih 70 hingga 80 kakitangan, dengan operasi kini diperluas ke Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan China.
Perancangan tahun depan, MantaYaY mahu membangunkan kemampuan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong sasaran memperluas perkhidmatan ke Jepun dan Korea Selatan, dua pasaran digital paling kompetitif di Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
