PILU hati seorang ibu selepas mendengar luahan anaknya yang baru berusia 7 tahun apabila mendakwa menjadi mangsa buli di sekolah.
Menerusi video dikongsikan pengguna akaun Threads @ain_roskiman baru-baru ini, anak lelakinya menangis teresak-esak sambil melontarkan kata-kata mengejutkan di ketika sedang bersiap ke sekolah.
Dalam video sama, wanita tersebut cuba menenangkan emosi anaknya yang tidak stabil kerana didakwa dibuli oleh rakan sebaya.
BACA LAGI: Hampir banyak persamaan, ketahui simbolik di sebalik hidangan berpantang 3 budaya masyarakat Asia
"Lebih baik mati daripada selalu kena buli," luah anaknya.
Mendengar kata-kata tersebut, wanita itu lantas memberi respons untuk berjumpa secara bersemuka dengan si pembuli.
"Apa perasaan semua kalau anak umur 7 tahun balik sekolah cakap seperti ini.
"Aku buntu, anak aku dah trauma dari kecil lagi," luahnya.
Insiden tersebut sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet yang menyuarakan keprihatinan terhadap isu buli di sekolah serta menyeru pihak berwajib termasuk sekolah dan ibu bapa agar memberi perhatian lebih serius terhadap keselamatan emosi kanak-kanak.
Rata-ratanya turut menggesa wanita berkenaan untuk menyelesaikan segera masalah itu sebelum kejadian tidak diingini berlaku.
"Perkara serius ini, mesti selesaikan cepat, kesian dia trauma," komen @nazielaemilia.
"Bagus untuk awak jumpa individu itu, tetapi tolong juga faham perasaan anak, peluk dia.
"Dia perlu menangis dan meraung untuk lepaskan rasa yang terpendam sebab kita ini ibu, tempat selamat dia.
"Biar dia rapuh depan kita supaya dia bangun lebih kuat sebab dia tahu dia ada tulang belakang yang kuat," tambah @dhiya.sam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
